Oleh Zihan Zari
SUNGAI TIANG -Isu penyalahgunaan dan pengagihan dadah serta bahan terlarang di Kedah masih di tahap yang membimbangkan dan berdasarkan data sehingga Mac 2025 negeri ini berada di tempat keempat tertinggi di Malaysia mencatatkan 12,259 individu dikesan terlibat dengan gejala ini.
Apa yang perlu kita akui secara terbuka ialah bahawa daerah Pendang mencatatkan kadar tertinggi pada tempoh yang sama iaitu sebanyak 1,798 penagih bagi setiap 100,000 penduduk.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Kedah 2025 di Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Tiang, dekat sini pada Sabtu.
Turut hadir, ADUN Tokai, Dato’ Dr. Mohd Hayati Othman; Pegawai Daerah Pendang, Nasrun Dato‘ Mohd Sheriff; Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Khairul Anwar Ahmad; Ketua Polis Daerah Pendang, Supt. Rodzi Abu Hassan; dan Pengurus Felda Sungai Tiang, Azni Pakhuszaludin.
Mansor yang mewakili Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Hj. Muhammad Sanusi Md Nor berkata data ini harus dilihat bukan hanya dari sudut negatif tetapi juga sebagai penguatkuasaan serta kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk mendapatkan bantuan dan rawatan.
Beliau berkata, mesej sambutan pada tahun ini ‘Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’ bukan sekadar impian atau slogan ia adalah seruan yang wajib disahut oleh semua ibu bapa, guru, belia, pemimpin komuniti, pihak berkuasa, serta swasta dan kerajaan.
“Pencegahan bukan sahaja melibatkan pihak AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sekolah, malah ia bermula di rumah, surau, padang permainan tempat kerja, dan dalam setiap perbualan harian kita dengan anak-anak.
“Bila disebut tanggungjawab bersama ini bermakna kita tidak boleh lagi hanya menuding jari, kita mestilah menggenggam tangan, bergabung dan berganding bahu.
“Sekiranya ada remaja berubah tingkah janganlah kita menjauhi, kalau ada jiran yang kita tahu bermasalah jangan dibiarkan, kita selamatkan bukan di sisihkan, ”katanya.
“Apa yang berlaku hari ini, bukan hanya isu pengedaran dan penyalahgunaan bahan terlarang tetapi isu kemanusiaan yang menuntut empati dan tindakan bersepadu.
“Realitinya ramai individu di daerah ini telah dikesan dan dikenal pasti lebih awal dan ini membuka peluang kepada mereka untuk menjalani proses rawatan pemulihan dan pemerkasaan diri sendiri.
“Inilah satu petanda positif bahawa masyarakat semakin terbuka dan sistem sokongan kerajaan dan agensi berkaitan semakin berfungsi. Kita tidak mahu menyorok kelemahan, tetapi kita juga tidak akan menafikan kekuatan.
“Lebih ramai dikesan, bermakna lebih ramai dapat diselamatkan, lebih ramai yang hadir ke pusat rawatan, bermakna lebih ramai yang diberikan harapan kembali ke pangkal jalan, ”katanya lagi.
“Pencegahan dadah dan pembangunan komuniti yang sihat adalah amat bertepatan dengan teras ketiga dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 (KEDAH2035) iaitu keterangkuman sosial dan budaya yang menekankan keperluan untuk mengukuhkan integriti sosial, menerapkan nilai-nilai murni serta membudayakan gaya hidup aktif.
Tambahnya, kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan lesen baharu atau memperbaharui lesen premis jualan rokok eletronik (vape) bermula 2026 dan keputusan itu dipersetujui oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Kedah.
“Pengeluaran lesen premis perniagaan vape sehingga penghujung tahun ini sahaja, selepas tempoh tersebut, tiada lagi lesen baharu akan dikeluarkan dan lesen sedia ada juga tidak akan diperbaharui.
“Kerajaan negeri mengambil langkah mengharamkan penjualan vape ini untuk mengurangkan risiko kesihatan kepada pengguna, terutamanya remaja, kerana vape mengandungi nikotin dan bahan kimia yang boleh merosakkan paru-paru dan otak, ”tambahnya lagi.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaporkan peningkatan trend penggunaan vape dalam kalangan murid sekolah dengan seramai 20,000 pelajar dikenal pasti terjebak dalam aktiviti itu.
“Saya mohon kerjasama semua pihak termasuk masyarakat dan ibu bapa agar mengambil cakna dan perhatian dalam meningkatkan kesedaran tentang keburukan bahaya vape ke atas anak-anak kita, ”katanya.
Dalam pada itu, program sehari ini diadakan untuk mengingatkan masyarakat serta mengukuhkan komitmen dan tanggungjawab semua pihak dalam memerangi ancaman dadah dan bahan terlarang selain menggembleng kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin komuniti dalam usaha pencegahan dadah secara holistik
Antara agensi dan jabatan yang terlibat dalam program ini, PDRM, Jabatan Penjara, Majlis Daerah Pendang (MDP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran MARA (IKM) , Politeknik, Giatmara dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN).
Tema sambutan tahun lalu dikekalkan ‘Lebih Baik Cegah’ dengan naratif baharu ‘Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’ dan disokong dengan tagline ‘Tak Payah, Tak Nak.-SUARA.TV