KOTA KINABALU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Negeri Sabah bagi melarang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti.
RUU Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan 2023) itu diluluskan kira-kira jam 7 malam ini selepas mendapat sokongan lebih dua pertiga ADUN yang hadir dengan seramai 13 ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan.
Keputusan itu selepas dua pengundian belah bahagian untuk Fasal 2 berkaitan pindaan Perkara 6 Perlembagaan Sabah dan pengundian bacaan kali ketiga RUU larangan bertukar parti.
Seramai 61 ADUN menyokong, manakala 14 tidak bersetuju dan empat lagi tidak hadir bagi pengundian belah bahagian Fasal 2, manakala 75 menyokong dan empat tidak hadir bagi pengundian bacaan ketiga RUU larangan bertukar parti.
Tiada yang berkecuali dalam kedua-dua pengundian.
Fasal 2 dalam RUU itu adalah berkaitan pindaan Perkara 6, iaitu memotong Fasal (7) berhubung panduan Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam memilih Ketua Menteri dari parti atau gabungan yang memenangi pilihan raya.
Kelulusan RUU itu sekali gus mengulangi keputusan RUU sama yang pernah diluluskan kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) lebih 30 tahun lalu.
Undang-undang melarang wakil rakyat melompat parti yang diluluskan PBS itu bagaimanapun dimansuhkan selepas diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi pada waktu itu.
Ketika membentangkan RUU berkenaan di DUN Sabah hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata parameter penggubalan RUU itu antaranya menetapkan bahawa peruntukan larangan ADUN bertukar parti tidak akan terpakai secara retrospektif yang mana pelaksanaan enakmen akan bermula dari tarikh kuat kuasa enakmen.
Hajiji berkata, ADUN yang keluar parti dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam gabungan yang sama atau berbeza akan terhenti menjadi ADUN.
“Keanggotaan seorang ADUN merujuk kepada keanggotaan dalam sebuah parti politik tidak kira sama ada parti politik itu adalah anggota sesebuah parti gabungan atau tidak.
“Selain itu, keanggotaan merujuk kepada ADUN yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk suatu gabungan parti politik, sebaliknya adalah anggota parti gabungan itu atau ahli langsung parti gabungan.
“Keanggotaan ADUN dalam parti gabungan tidak akan diambil kira kerana persoalan dasar utama yang menjadi asas dalam penggubalan undang-undang ini adalah keahlian seorang ADUN dalam suatu parti politik,” katanya.
Hajiji berkata, penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam RUU berkenaan, manakala mana-mana ADUN yang bertukar parti politik atau menjadi ADUN bebas akan terhenti menjadi ADUN dan perlu mengosongkan kerusi.
Katanya, ada beberapa pengecualian dalam RUU larangan bertukar parti itu termasuk ADUN tidak terhenti menjadi ADUN jika parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftaran.
Beliau berkata, pelepasan keanggotaan ADUN daripada parti politik apabila dipilih menjadi Speaker DUN juga tidak menyebabkannya terhenti menjadi ADUN.
“Dalam erti kata yang lain, perkara ini tidak akan menyebabkan Speaker kehilangan kerusinya dan pemecatan ADUN daripada keanggotaan dalam parti politik tidak akan menyebabkan kekosongan kerusi ADUN terbabit,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam penggubalan RUU itu untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negeri terus berdepan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.
RUU berkenaan mengandungi lima fasal berkaitan semua perkara yang dimasukkan dalam pindaan Perlembagaan Sabah bagi melarang ADUN Sabah bertukar parti. – BH