Nona makin serasi

- Advertisement -

BERPENGALAMAN luas dalam bidang nyanyian dan muzik, penyanyi Stacy dan suaminya juga penyanyi, Akim Ahmad menerusi syarikat rakaman mereka, Rhythm & Rhyme Entertainment ‘melahirkan’ kumpulan Nona yang terdiri daripada tiga wanita.

Dianggotai Raja Nuraizureen Raja Azahari, 25 (Nona Raja), Low Kar Yee Angela, 26 (Nona Lela) dan Erika Rianty Anthony, 21 (Nona Rika), Nona satu lagi bukti semangat dan kualiti yang dihasilkan pasangan suami isteri itu.

Menurut Stacy, perjalanan untuk merealisasikan Nona mengambil masa panjang sebelum mereka berjaya disatukan dengan kemunculan single sulung, Kasuari selain video muzik yang dilancarkan secara rasmi pada 21 Mei lalu saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment.

“Perancangan nak mewujudkan Nona ini sejak 2019 lagi, tapi terbatas sebab sibuk dengan kerja sendiri. Apabila sudah ada pengetahuan dan berdasarkan pengalaman, saya dan Akim memikirkan sudah sampai waktu untuk berkarya kepada orang lain pula. Konsep dan hala tuju yang ada ini kami cuba untuk terapkan kepada orang baru lengkap dengan lagu.

“Pada awalnya, Nona ada ramai dan banyak kali bertukar. Ketika itu kami masih mencari kekuatan dan karakter yang perlu dibawa Nona. Jadi apabila sudah dapat top 3, baru kami mulalan latihan iaitu sejak Oktober tahun lalu. Sejak itu, saya banyak masa dengan mereka. Saya dan Akim ajar benda penting dalam muzik, apa patut buat dan ambil tahu apabila nak menyanyi.

“Macam Raja dan Lela mereka adalah penari profesional dan sudah biasa mengiringi persembahan penyanyi lain. Sementara Rika pula adalah bekas protege saya dalam Mentor Milenia. Jadi, nak menjadikan Raja dan Lela penyanyi dan Rika penari adalah cabaran. Tapi yang menariknya, disebabkan keinginan dan cara bekerja mereka, ketiga-tiganya dapat terima semua ini dalam tempoh yang singkat. Sejujurnya, saya teruja apabila melihat peningkatan dalam diri mereka,” katanya.

Menurut Stacy, Nona bukan sahaja penyanyi tapi juga penghibur yang muncul dengan identiti tersendiri.

“Perjalanan nak satukan mereka agak susah. Masing-masing tidak berkenalan melainkan Lela dan Raja. Pernah satu tahap mereka bergaduh ketika proses rakaman video muzik.

 

LAGU Kasuari hasil ciptaan Stacy dan Akim.
LAGU Kasuari hasil ciptaan Stacy dan Akim.

 

“Lama kelamaan, apabila mereka tidur di studio selama dua minggu, baharulah nampak keserasian antara satu sama lain. Baru mereka dapat belajar dan terima pelajaran dengan senang. Jadi keserasian penting untuk menghasilkan perkara yang bagus dan berkualiti,” katanya.

Berkongsi mengenai single pengenalan Nona berjudul Kasuari hasil ciptaan bersama Akim itu, Stacy berkata genre diketengahkan adalah pop.

“Lagu dan video muzik sudah siap pada Mac lagi, tapi disebabkan sudah hampir dengan bulan Ramadan jadi kami ambil keputusan tangguhkan dulu. Sekarang, ini waktu sesuai.

“Genre pop dipilih berdasarkan perbincangan dan keputusan semua. Mereka juga selesa dengan genre ini dan mahu mengetengahkan M-Pop,” katanya.

Ditanya adakah kemunculan Nona bakal memberi saingan baharu kepada kumpulan Dolla yang kian mencipta nama, Stacy berkata ia adalah perkara biasa dalam bidang muzik selain mahu menyajikan sesuatu yang baharu kepada peminat.

“Inilah kerja kami sebagai anak seni. Di mana bukan setakat nyanyi, apabila ada permintaan apa boleh dibuat mungkin pada generasi baru, dalam tak sedar memberi warna dan saingan sihat pada industri untuk terus ikut perjalanan muzik yang ada.

“Sejak kebelakangan ini pun peminat semakin suka dengan ‘band girl’. Dulu saya pernah terbabit dalam grup Evoke, jadi ada pengalaman sikit. Apabila Dolla dan Defam muncul, ia sedikit sebanyak memberi semangat untuk orang lain juga. Bagi yang suka dengarkan K-Pop, boleh jadikan M-Pop pula sebagai muzik pilihan selepas ini.

“Orang Malaysia ramai berseni. Cuma kena diberi peluang mencuba dan belajar. Nak cari yang mahu terbabit dalam bidang ini ramai, tapi nak yang cari pandai dengar dan ikut kata, susah. Jadi Nona akan sama-sama memberikan saingat sihat,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat