KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan berita gembira buat semua perantau yang akan pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri dengan menawarkan tol percuma dan diskaun.
Kata beliau, sebanyak 30 lebuh raya di seluruh negara akan menawarkan tol percuma dan diskaun tol sempena sambutan Aidilfitri pada 3 Mei ini.
Ismail Sabri memberitahu, tol percuma dan diskaun itu melibatkan jumlah sebanyak RM77.11 juta dan ia akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi.
“Pemberian tol percuma melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara – selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT).
“Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April 2022 (Sabtu) sehingga jam 11:59 malam pada 1 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu diambil selepas mengadakan sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya.
Katanya, tol percuma juga diberikan kepada pengguna Plus dan LPT yang pulang semula ke kediaman masing-masing bermula 12 tengah malam 7 Mei (Sabtu) hingga 11.59 malam 8 Mei (Ahad) untuk semua kelas kenderaan.
Ismail berkata, tawaran diskaun tol antara 30 peratus hingga 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya lain pada tarikh dan masa sama bagi semua kelas kenderaan.
“Diharapkan dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri pada tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama orang tersayang.
“Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya, terutamanya golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Awal tahun ini, kerajaan memberi jaminan tiada sekatan untuk orang ramai pulang beraya di kampung halaman. Ia sejajar negara mula memasuki fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu.