KUALA LUMPUR – Tidak menyangka entri laman sosial Facebook Rumah Kasih Nurul Hasanah (RKNH), Ukay Heights, Ampang berkenaan masalah kewangan yang dihadapi menarik perhatian Kumpulan TalentCorp.

Kumpulan TalentCorp dalam satu kenyataan berkata, pada awalnya salah seorang pegawai mereka ada melihat posting di media sosial yang mengatakan rumah kebajikan ini memerlukan bantuan sempena Aidifitri.

”Selepas membuat pemeriksaan bagi mengenal pasti premis ini sah didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kami bersetuju untuk membantu meringankan beban mereka.

”Difahamkan mereka mengalami kekurangan dana untuk penyelengaraan dan sewa rumah bagi menempatkan 80 anak yatim di beberapa premis berlainan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, rumah ini mengalami masalah kewangan berikutan sumbangan yang diterima berkurangan selepas pandemik Covid-19 baru-baru ini dan kenaikan kadar sewa yang dikenakan pemilik bangunan baru-baru ini.