KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan hasrat untuk menyertai PN telah dinyatakan sendiri oleh Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran pada hujung tahun lalu.
Justeru Tuan Ibrahim berkata, pihaknya tidak berdepan sebarang masalah atau kerugian sekiranya MIC memutuskan membatalkan hasrat menyertai gabungan itu.
Memetik Utusan, Tuan Ibrahim menegaskan, secara prinsip, PN telah menerima hasrat MIC untuk bersama sebagaimana dimaklumkan dalam mesyuarat penghujung 2025 yang dipengerusikan bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita menerima hasrat MIC melalui presiden parti mereka, kita menerima secara prinsip penyataan hasrat tersebut. Ini telah dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin sewaktu beliau mempengerusikan mesyuarat PN akhir tahun lalu.
“Namun, PN tiada masalah sekiranya mereka membatalkan hasrat tersebut,” katanya menurut akhbar itu.
Terdahulu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, permohonan kemasukan MIC sudah diluluskan menerusi mesyuarat pada 14 Mac lalu menjadikan gabungan itu kini dianggotai lima parti.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan menolak dakwaan dengan mendakwa Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) belum membuat keputusan mengenai perkara itu.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, ketika ini PN memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung akhir tahun ini.
Katanya, pihaknya bersedia membuka pintu kepada mana-mana parti yang berminat untuk turut serta, namun sebarang keputusan akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN.
“Kita akan menunggu permohonan rasmi daripada pihak berkaitan, termasuk parti baharu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Mesyuarat sebelum ini turut membincangkan beberapa permohonan daripada parti lain dan perkara itu akan dibincangkan semula apabila tiba masanya,” katanya.



