KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) tahun ini tampil dengan iklan raya berbentuk Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) yang menzahirkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.
Iklan tersebut menampilkan pelakon Rosnah Johari sebagai Faridah dan Izzul Faiq sebagai Ismail, bersama pelakon-pelakon dari pelbagai latar belakang kaum termasuk masyarakat Cina, India, serta etnik Sabah dan Sarawak.
Mengisahkan konflik Ismail, seorang anak tunggal lelaki yang bergelut dengan persepsi masyarakat bahawa lelaki perlu hidup berdikari dan tinggal berasingan daripada ibu bapa. Tekanan semakin dirasai apabila rakan-rakan sekerjanya, yang berasal dari Borneo dan telah lama merantau, sering mengusiknya kerana masih tinggal bersama ibunya.
Namun, konflik ini membawa kepada pengajaran bermakna apabila Ismail akhirnya menyedari bahawa nilai kekeluargaan bukan hanya dipegang oleh dirinya tetapi turut dijunjung oleh rakan-rakannya walaupun berbeza agama dan bangsa.
Antara mesej penting yang disampaikan dalam PSA ini ialah sikap memahami, menghormati, dan menerima perbezaan dalam kehidupan bermasyarakat. Ini digambarkan melalui babak Lizzy, salah seorang rakan Ismail, yang memasak hidangan khas menggunakan periuk khusus untuk rakan-rakan Muslimnya.
Di akhir iklan, pelbagai watak daripada latar belakang berbeza disatukan dalam satu suasana penuh harmoni, menekankan kepentingan menjaga hubungan erat, menghargai perbezaan, serta memperkukuh jati diri nasional.
Iklan ini boleh ditonton melalui saluran televisyen dan radio seperti RTM, BERNAMA, TVS, dan ASTRO, selain dimuat naik ke platform media sosial Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang.
Menteri Komunikasi turut menyokong penyiaran PSA ini di televisyen serta memastikan liputan media yang meluas bagi menyampaikan mesej perpaduan kepada rakyat Malaysia.