Fokus Kelestarian Bumi Dalam Aspek Perancangan Pembangunan – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu memberi fokus kepada kelestarian bumi dalam aspek perancangan pembangunan fizikal mahupun sosioekonomi agar mendatangkan impak positif kepada rakyat dan alam sekitar, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sekretariat Majlis Air Negara (MAN) Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataan berkata perkara itu dinyatakan Muhyiddin ketika mempengerusikan Mesyuarat Kedua MAN 2021 secara maya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, dalam mesyuarat tersebut perdana menteri menyarankan supaya inisiatif pengebilan bersepadu oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dilaksanakan bagi negeri-negeri yang telah memberikan persetujuan.

“Namun begitu, perdana menteri juga memohon agar negeri-negeri lain meneliti dan mempercepatkan persetujuan kerana ia memberi banyak manfaat.

Berkaitan dengan ini juga, Kerajaan Negeri Johor telah menyatakan persetujuan untuk IWK mengambil alih perkhidmatan pembetungan di Majlis Perbandaran Johor Bahru dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, perdana menteri juga memohon agar KASA menjalankan sesi libat urus berkaitan cadangan penggunaan kadar minimum aliran ekologi/alam sekitar dalam pengurusan sungai di Malaysia dengan negeri untuk memberi penerangan pelaksanaan cadangan itu.

Mesyuarat itu juga telah membuat keputusan penting iaitu agar semua negeri mengguna pakai Garis Panduan JPS 1/97 Kawalan Hakisan Berikutan Pembangunan di Kawasan Pantai dan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISPM) berikutan kejadian hakisan pantai dan sungai yang berlaku disebabkan aktiviti mengorek pasir.

“Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) juga disambut baik oleh semua negeri dan kementerian yang terlibat dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran sungai,” katanya.

Sebanyak enam kertas cadangan dan tiga kertas makluman telah dibentangkan pada mesyuarat yang dihadiri menteri Kabinet, Menteri Besar, Ketua Menteri dan ketua jabatan serta agensi yang berkaitan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat