PAS Akan Bincang Tarikh PRN Di Tiga Negeri PH, Mahu Undi Serentak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- PAS akan berbincang dengan tiga negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) untuk menetapkan supaya tarikh pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung nanti dapat diadakan serentak bersama Kelantan, Terengganu dan Kedah yang ditadbir parti itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata perbincangan itu dijangka berlangsung minggu depan bersama menteri besar dan ketua menteri tiga negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, perbincangan secara tidak rasmi mengenai tarikh PRN sudah pun diadakan bersama menteri besar dan ketua menteri tiga negeri terbabit akhir tahun lalu, bagaimanapun tiada keputusan dibuat hasil pertemuan awal itu.

“Setakat ini kita belum memuktamadkan tarikh PRN sehinggalah perbincangan secara rasmi diadakan bersama tiga menteri besar dan ketua menteri itu minggu depan,” katanya selepas menyampaikan biasiswa kepada 10 pelajar pada Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT–TI Young Talent Scholarship di Kuala Terengganu lapor BH.

Sebelum ini, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan PAS akan menentukan sendiri tarikh bersesuaian untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN di tiga negeri ditadbir parti itu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Presiden PAS itu turut berkata, terpulang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menentukan pembubaran DUN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor sama ada akan dilakukan serentak dengan tiga negeri ditadbir PAS atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, tiga negeri dikuasai PAS memutuskan bersepakat untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan serentak, namun tarikh sesuai untuk PRN di tiga negeri terbabit masih dalam perbincangan.

“Kita berpendapat PRN di enam negeri perlu diadakan serentak bagi menjimatkan pengurusan, termasuk peruntukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memudahkan rakyat.

“Namun keputusan sama ada PRN akan diadakan serentak di enam negeri atau tidak bergantung kepada hasil perbincangan dengan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Mengenai kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, Ariffin Deraman, yang dilaporkan PRN akan diadakan selewat-lewatnya Mac dan Mei ini, Ahmad Samsuri berkata, kenyataan itu adalah pandangan peribadi dan bukan mewakili parti.

Katanya, semua pemimpin boleh memberi pandangan secara peribadi, tetapi keputusan tarikh sebenar PRN akan dibuat pimpinan tertinggi parti selepas perbincangan diadakan.

“Semua pihak boleh memberi pandangan peribadi, jika kita tanya 10 pemimpin sekali pun, mereka akan memberi pandangan tarikh PRN yang berbeza,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,445FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat