Hattan takkan agungkan lagu dari Indonesia

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Hattan masih lagi berpegang dengan jati dirinya untuk tidak mengagungkan lagu-lagu dari Indonesia.

Hattan berkata, lagu-lagu dari negara seberang itu begitu mudah untuk masuk ke pasaran Malaysia, sedangkan lagu tempatan perlu melalui proses yang sukar sebelum dipasarkan di sana.

“Dia (Indonesia) main lagu kita tak? Tak. Budak ‘busking’ dia saja yang main lagu kita. Tapi, hakikatnya, dia tak main pun lagu kita (secara komersial).

“Dulu, dari zaman Isabella meletup, Search meletup, dapat tak buat konsert di sana? Tak ada. Ada pun sekali di Acheh dan satu lagi konsert sebab penggambaran filem Isabella di sana,” katanya kepada Harian Metro.

Hattan berkata, dia bukan ingin bermusuh sebaliknya ingin kekal dengan prinsip dan jati dirinya sebagai anak seni tempatan.

“Mereka tak hormat kita, kenapa kita nak hormat mereka? Bukan kita kena bermusuh, tapi kita kena ada jati diri.

“Senangkah untuk kita ke sana, promosikan lagu kita? Siapa artis yang tak nak masuk ke sana? Saya dengan Wings, kami memang tak nak ke sana sebab mereka suruh rakamkan lagu dengan menukar lirik ke bahasa mereka sebagai strategi pemasaran.

“Mereka datang ke sini, kita tak suruh pun tukar ke Bahasa Malaysia dan kita terima saja. Sebab itulah saya tak hairan dan menjadi salah seorang yang tak nak,” katanya.

Hattan berkata, dia pernah menolak tawaran merakamkan lagu untuk pasaran Indonesia kerana perlu berduet dengan penyanyi di sana.

“Saya pernah dapat tawaran untuk ke sana, tapi kena duet dengan Mayangsari. Saya tak naklah. Saya faham, kadang-kadang strategi yang digunakan adalah pemasaran secara bersilang. Namun, muzik itu ‘universal’. Kita boleh layan lagu Hindustan, takkanlah mereka tak boleh layan lagu kita sedangkan bahasa asli kita, sama kerana kita serumpun.

“Habis, kenapa beriya sangat nak suruh tukar bahasa. Kalau beberapa perkataan saja, mungkinlah boleh diterima,” katanya yang kini menggalas tanggungjawab sebagai juri program Mic On! untuk saluran Awesome TV bersama Datuk Awie dan Mas Idayu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,598FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat