KLANG – Yayasan Bank Rakyat tampil menyumbang bantuan kewangan sebanyak RM44,200 kepada 221 keluarga kakitangan KEMAS yang terkesan akibat banjir pada Disember lalu di sekitar kawasan Klang dan Shah Alam.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Wira Hj Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, bantuan sebanyak RM200 bagi setiap keluarga yang terlibat merupakan sebahagian inisiatif YBR bagi membantu mereka yang terjejas akibat bencana alam tersebut.

“Sehingga kini, peruntukan sebanyak RM100,000 telah diperuntukan oleh YBR bagi membantu 500 keluarga yang terjejas akibat banjir di sekitar Selangor”.

Tambah beliau lagi, pihaknya telah bekerjasama dengan Kelab Kebajikan Sukan KEMAS Daerah Klang bagi mengenalpasti keluarga yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda bagi memudahkan proses pengagihan bantuan.

“Pihak kami amat bersimpati dengan mereka yang terkesan akibat banjir dan diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan bebanan yang ditanggung dan dapat mempercepatkan proses pemulihan pasca banjir.”

Menurut beliau, sumbangan yang sama juga turut disumbangkan kepada mereka yang terkesan di sekitar Hulu Langat dan Serdang pada 13 dan 15 Januari yang lalu.

Pada majlis itu Megat Zulkarnain bagi pihak YBR telah menyerahkan bantuan kepada Ketua Pengarah Kemas Malaysia, Dato Mohd Yasid Bidin dan turut hadir penyerahan ini adalah Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Selangor, Mohd Ali Hanafiah Abu Hassan, Ketua Bahagian Operasi (Menanggung Tugas Pengurus Besar) Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani serta Pengurus Jabatan Perhubungan Komuniti & Penjenamaan Korporat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

YBR melalui bantuan yang disalurkan kepada mereka ini diharapkan agar dapat membantu mangsa dalam mengharungi saat-saat sukar ditambah pula dengan wabak Covid-19 yang masih lagi berleluasa.

Pada tahun 2022, Yayasan Bank Rakyat telah memperuntukkan sebanyak RM500,000.00 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.