KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berdepan cabaran besar tahun ini apabila jumlah kutipan zakat belum mencukupi untuk menampung keperluan miskin bandar dan asnaf di Wilayah Persekutuan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIW Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, setakat ini RM1.02 bilion sudah diagihkan untuk membantu golongan memerlukan, yang bilangannya terus meningkat sedangkan kutipan zakat baru mencecah RM909.99 juta.
“Maknanya, dari segi agihan kini lebih tinggi daripada jumlah kutipan, tetapi MAIWP membantu 34,000 keluarga setiap bulan.
“Sebab itu duit zakat yang kami kutip ini belum cukup dan kami masih perlu menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam tampil menunaikan kewajipan mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata, sebagai instrumen penting dalam sistem ekonomi Islam, zakat dapat membantu menangani isu kemiskinan bandar, khususnya di ibu negara.
Menerusi zakat katanya, ia boleh berfungsi sebagai wadah untuk mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan membantu mereka yang memerlukan.
“Agihan zakat melalui institusi zakat lebih adil, menyeluruh dan berfokus kepada keperluan asas seperti perumahan, kesihatan, pendidikan dan pekerjaan, sekali gus membantu golongan miskin keluar daripada kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup mereka.
“Justeru, saya seru mereka yang berpendapatan lebih atau cukup syarat wajib perlu menunaikan tanggungjawab zakat kerana dalam rezeki kita ada hak asnaf atau mereka yang memerlukan.”
Sehubungan itu, berbaki kurang dua minggu sebelum memasuki 2025, beliau menyeru masyarakat Islam belum membayar zakat berbuat demikian selewat-lewatnya 31 Dis ini bagi merebut peluang memenangi hadiah menunaikan umrah.
“Kaunter PPZ-MAIWP akan dibuka setiap hari, termasuk cuti umum.
“Bermula 23 hingga 31 Dis ini, kaunter akan dibuka hingga 9 malam atau lebih mudah bayar menerusi portal www.zakat.com.my, aplikasi MyZakat dan perbankan internet,” katanya.