Wang Ihsan Dibayar Setiap Kali Bencana, Tiada Tarikh Tutup – NADMA

KUALA LUMPUR- Kerajaan memutuskan untuk memberikan pembayarn wang ihsan banjir akan disalurkan kepada rakyat yang terkesan mengikut keperluan malah tidak menetapkan sebarang tarikh tutup permohonan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan pada Jumaat menjawab dakwaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang menyatakan terdapat tarikh tutup permohonan BWI adalah tidak benar.

NADMA menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut kerana tidak ada tarikh tutup bagi Bantuan Wang Ihsan (BWI) memandangkan kejadian bencana adalah sesuatu yang tidak dapat diramal.

Malah tegas NADMA, untuk makluman, sehingga hari ini sejumlah RM26.9 juta peruntukan fasa pertama telah disalurkan ke 11 buah negeri untuk pembayaran bantuan wang ihsan.

“Tambahan akan diberikan mengikut keperluan,” kata agensi itu.

NADMA juga mengulas iaitu pada 21 Disember 2021, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memutuskan bahawa semua mangsa-mangsa bencana yang terkesan akibat banjir wajar menerima BWI setiap kali ditimpa bencana.

“Keputusan ini dibuat Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Bencana Bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Sebelum ini kelayakan BWI hanya diberikan sekali dalam musim tempoh bencana telah diisytiharkan namun atas keprihatinan Perdana Menteri kini semua mangsa yang terkesan akibat bencana banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa, tertakluk kepada pengesahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN),” jelasnya.

Oleh itu kata NADMA, merujuk kepada kenyataan Hannah Yeoh yang mendakwa FAQ NADMA berkaitan BWI adalah bercanggah dengan keputusan Perdana Menteri, pihak agensi ingin memaklumkan bahawa FAQ yang dirujuk adalah garis panduan lama.

“Ia tidak lagi terpakai lanjutan pengumuman Perdana Menteri dan arahan ini turut dilanjutkan kepada semua Kerajaan Negeri.

“Dakwaan Hannah Yeoh yang menyatakan terdapat tarikh tutup permohonan BWI adalah tidak benar,” tegas NADMA.

Semalam, Hannah Yeoh menyoal dakwaan percanggahan antara kenyataan Perdana Menteri dan dasar NADMA mengenai berapa kali bantuan tunai akan diberikan kepada mangsa banjir.

Ini selepas ciapan Ismail Sabri kepadanya, memaklumkan bantuan banjir akan diberikan setiap kali bencana berlaku.

“Kerajaan akan bayar setiap kali mereka ditimpa bencana.

“Kalau dua kali dilanda bencana, dua kalilah kerajaan akan bayar. Itu arahan saya,” katanya pada hantaran semalam.

Bagaimanapun, Hannah hari ini menegaskan soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan oleh NADMA mengenai bantuan tunai RM1,000 menyatakan bantuan hanya akan diberikan sekali dalam “musim bencana.”

“Sekiranya bencana berlaku melebihi dari sekali dalam tempoh bencana maka tiada bantuan kedua, ketiga atau seterusnya yang akan diberikan,” kata jawapan Soalan Lazim NADMA itu.