Senator Ras Adiba Pengerusi baharu Bernama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Ras Adiba Radzi, 52, dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu, dan merupakan wanita pertama yang memegang jawatan itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang mengumumkan perkara itu di sini hari ini, berkata beliau akan berkhidmat selama  tiga tahun berkuat kuasa 23 Nov (semalam).

Saifuddin berkata pelantikan bekas personaliti penyiaran berkenaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri itu juga yakin Ras Adiba akan menerajui agensi tersebut ke tahap yang lebih baik di samping meningkatkan mutu dan kualiti penyampaian berita.

“Sebagai ‘orang lama’ dalam dunia penyiaran, saya yakin beliau punyai cukup pengalaman untuk bantu kita (Bernama) dalam penyampaian berita dan hal ehwal semasa,” katanya.

Ras Adiba yang dilantik sebagai Senator pada Mei tahun ini, menggantikan Suhaimi Sulaiman yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Bernama pada 6 Ogos lepas.

Wanita kelahiran Petaling Jaya itu merupakan atlet para negara selain mengetuai OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak-hak orang kurang upaya (OKU).

“Tetapi, ini bukan tentang Bernama sahaja, dengan pelantikan beliau kita harap semua agensi di bawah kementerian ini dapat bekerjasama dengan lebih baik,” kata Saifuddin.

Beliau berkata Ras Adiba mampu membaiki elemen penting dalam sistem penyampaian penerangan, berita dan penceritaan di Bernama dan semua agensi di bawah kementerian itu, amnya.

Berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun Ras Adiba dalam bidang pemberitaan, Saifuddin optimis peneraju baharu Bernama itu akan menjadikan produk berita agensi tersebut lebih berorientasikan manusia, selain membaiki elemen analisis, solusi dan pelaksanaan dalam sistem berita.

“Kita perlu tingkatkan human-centred news dan hal ehwal semasa, kadang-kadang saluran (media) kerajaan ini agak dry (kurang unsur perasaan)… kita perlu mula menyelitkan lebih banyak unsur perasaan dalam laporan berita yang kita hantar keluar dan perbanyakkan kisah rakyat. Saya fikir Ras (Adiba) akan mainkan peranan penting dalam aspek ini,” katanya.

Sementara itu, Ras Adiba menyifatkan pelantikan beliau sebagai penghargaan kepada golongan wanita dan komuniti OKU selain berharap dapat melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan baik dan menjalinkan kerjasama erat dengan semua pihak.

“Insya-Allah, saya akan kongsikan lebih banyak idea yang segar, bekerja dengan pasukan sedia ada dan memberikan motivasi kepada kita semua untuk menghasilkan berita bertaraf tinggi untuk televisyen, radio dan juga pelanggan berita.

“Ini adalah waktu untuk saya mengembalikan semula  pengalaman yang saya ada dalam bidang ini,” katanya yang kini terpaksa berkerusi roda akibat kecederaan tulang belakang yang dialaminya dalam nahas jalan raya di Petaling Jaya pada 11 Nov 1995.

Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama yang juga Ketua Pengarang Datuk Mokhtar Hussain mengalu-alukan pelantikan tersebut sambil mengucapkan tahniah kepada Ras Adiba.

Katanya pengalaman Ras Adiba sebagai personaliti TV akan membantu Bernama yang turut mengoperasikan  stesen radio Bernama Radio dan saluran televisyen Bernama TV.

“Saya yakin pengerusi baharu kami ini akan menyumbangkan idea-idea yang segar untuk membawa Bernama ke peringkat lebih tinggi.

“Kami di Bernama gembira dapat bekerja dengan Ras Adiba bagi mengemudi agensi berita ini mengharungi tempoh yang mencabar akibat penularan COVID-19 sekarang, selain landskap industri media yang sentiasa berubah, dengan selamat,” katanya

-BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat