20 Anggota Pentadbiran Kerajaan Dari BN Sokong Belanjawan 2021 Diluluskan

- Advertisement -

CYBERJAYA – 20 anggota pentadbiran kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan mereka supaya Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat.

Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, mereka memaklumkan pendirian itu diambil selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menasihati Ahli Parlimen supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

Ia juga bagi memastikan proses pemulihan ekonomi yang berdepan impak negatif akibat pandemik Covid-19 dapat dilaksanakan secara teratur dan tersusun melalui pentadbiran yang stabil.

“Anggota pentadbiran dari Barisan Nasional (yang merupakan Ahli Dewan Rakyat) mengambil maklum cadangan serta pandangan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen BN berkenaan Belanjawan 2021. Cadangan dan pandangan ini akan diambil kira untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Kami juga telah bersetuju agar Kerajaan yang telah dibentuk secara muafakat ketika ini terus didokong termasuklah dengan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Mohd Yassin dalam melaksanakan pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat.

“Sehingga itu, kami telah bersepakat untuk mengukuhkan kedudukan BN di dalam Kerajaan sedia ada dan pada masa yang sama akan menyusun gerak kerja bagi memastikan BN menjadi suara terkuat di dalam Kerajaan.

“Dalam hal ini, suatu mesyuarat yang telah diadakan bersama Pengerusi BN, YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam telah memutuskan agar ahli Jemaah Menteri dari BN mengadakan perjumpaan dan bermesyuarat secara lebih kerap bersama Pengerusi BN bagi mendapatkan panduan berkenaan pendirian dan dasar parti BN untuk disampaikan kepada Jemaah Menteri.

“Berdasarkan perkara yang dinyatakan ini, kami percaya rakan-rakan Ahli Parlimen BN yang lain akan turut serta memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021 bagi memastikan perancangan kerajaan untuk membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan tersebut ditandatangani Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Sumber Manusia, M Saravanan; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Turut menandatangani kenyataan itu ialah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Menteri, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Serta, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah.

Turut menandatangani, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid dan Arthur Joseph Kurup; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi I, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat