KUALA LUMPUR- Nampaknya bukan rakyat yang menentukan arah negara ini tetapi siapa yang paling kuat menghentak meja dalam mesyuarat Kabinet.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari berkata, semalam di Dewan Rakyat, soalan beliau kepada Perdana Menteri dimulakan dengan pujian terhadap ketegasannya menjaga institusi sekolah semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan dahulu.
“Saya sangka ketegasan itu masih kekal, apatah lagi beliau dengan yakin menyatakan bahawa “arak tidak akan lagi dibenarkan di kawasan sekolah”. Tepukan pun kedengaran. Saya hampir bertakbir!
“Belum sempat sehari berlalu, pagi ini muncul pula suara ‘keramat’ dari Lim Guan Eng, menempelak kenyataan Perdana Menteri itu kononnya sebagai “tunduk kepada golongan ekstremis”.
“Dan seperti biasa, kerajaan pun ‘menjelaskan’ bahawa garis panduan lama dikekalkan, maksudnya arak masih boleh dihidangkan di sekolah Cina seperti biasa.
“Hebat sungguh kerajaan ini, boleh ubah dasar sesedap cita rasa pihak yang menekan.
“Macam minum teh tarik, kalau manis sangat, tambah air; kalau kena marah DAP, terus tukar resepi,” tempelak Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Ironinya Fadhli berkata, isu ini bukan soal ekstremis atau liberalis tetapi soal asas: adakah sekolah, tempat anak-anak menuntut ilmu, wajar dijadikan ruang normalisasi budaya minum arak?
“Tapi bila suara yang menyoal datang dari blok pembangkang, terus dilabel kolot dan sempit.
“Bila suara lantang datang dari DAP, barulah kerajaan cepat “menyesuaikan kefahaman”.
“Arak di sekolah? Hal kecil bagi mereka. Tapi bagi kita yang masih waras, ia tanda besar bahawa kerajaan ini sudah lama mabuk dengan kuasa dan takut hilang undi.
“Tahniah DAP. Tan Sri Yang Dipertua, saya tarik balik pujian itu, terima kasih,” ujar Fadhli.



