KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya untuk MCA menentukan arah tuju parti sama ada kekal menjadi ‘junior partner’ dalam BN atau menentukan hala tuju politik mereka sendiri.
Bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, hanya itu pilihan yang ada untuk MCA pilih memandangkan parti berkenaan cuma tinggal dua kerusi Parlimen di Ayer Hitam dan Tanjung Piai bahkan kini mendapat layanan kurang mesra lagi daripada BN.
“MCA kena tentukan pendirian mereka sendiri, apa pendirian mereka nak buat untuk masa depan MCA ini?
“Mereka berada dalam BN dilayan sebegitu rupa sekarang. Ini pun walaupun tidak ada ‘formal break’ tetapi jelas sekali bahawa hubungan bersama dengan DAP macam KJ kata dilamun cinta, lebih rapatlah sebab ada nilai tambah dan yang jelas MCA tidak lagi dilihat sebagai rakan yang sama kualiti dari segi nilai tambah mereka.
“MCA kena buat keputusan, MCA tak boleh merungut apa yang Umno buat sebab Umno boleh buat apa yang Umno nak buat. MCA boleh buat apa MCA nak buat dan MCA kena tetapkan adakah mereka nak jadi ‘junior partner’ yang sangat junior dalam coalition ini ataupun yang hidup atas nostalgia dan hubungan lama dalam BN.
“…which means something tetapi politically for the future doesn’t means much ataupun dia nak chart own future, nak buat jalan mereka sendiri, jadi mungkin kalau kita bercakap sebagai penganalisa, mungkin ini bunga-bunga awal untuk berikan bayangan mereka perlukan excuse to leave, i don’t know,” kata Shahril dalam podcast Keluar Sekejap yang dimuat naik pada Selasa.
Pada Ahad lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, parti MCA bersedia untuk bergerak secara solo sekiranya mana-mana parti dalam BN meninggalkan gabungan itu.
Kata Ka Siong, parti itu bersedia untuk ‘bebas’, walaupun mereka perlu bermula dari bawah.
“Apabila mana-mana parti komponen utama menunjukkan hasrat untuk keluar, ia bermakna mereka tidak lagi menganggap gabungan itu penting dan MCA tidak seharusnya berdiam diri.
“Kita sepatutnya mempunyai pendirian sendiri dan terus memainkan peranan sebagai sebuah parti politik.
“Sekiranya hari itu tiba, kami akan membuat keputusan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan parti ke-70 di Wisma MCA.
Senada dengan Shahril, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan, ini adalah satu jalan yang agak jauh untuk MCA.
Bagaimanapun kata beliau, ia satu kelebihan kerana MCA ada duit dan sumber kewangan melalui syarikat-syarikat di bawahnya.
“Mungkin MCA ada daya tahan untuk take the long road tetapi saya tidak melihat MCA ada bargaining power yang besar dalam BN buat masa ini.
“… dan MCA kena buat keputusan sama ada nak jadi junior partner dalam BN dan terus melihat musuh tradisi mereka DAP dapat segala habuan ataupun mereka pergi pilih jalan sendiri,” katanya.