Bersatu Tangga Batu nafi sengaja tak jemput ADUN Sungai Udang ke persidangan

- Advertisement -

CYBERJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tangga Batu menafikan dakwaan bertindak dengan sengaja tidak menjemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu kawasan Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof ke persidangan bahagian itu pada Sabtu lalu.

Memetik laporan Sinar, Bersatu Bahagian Tangga Batu dalam kenyatannya menjelaskan tindakannya tidak menjemput ADUN berkenaan pada minggu lalu adalah bersifat peribadi.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu, Hasril Hassan berkata, ini kerana ADUN terbabit membuat permohonan menyertai Bersatu bahagian itu pada tahun ini.

Jelasnya lagi, tindakan itu sekali gus menyebabkan beliau tidak layak menyertai persidangan cawangan dan juga bahagian kerana telah melepasi tarikh akhir pendaftaran ahli serta pertukaran cawangan yang ditetapkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) iaitu pada 31 Disember tahun lalu.

“Bagaimanapun jawatan Naib Ketua Bahagian yang pada awalnya ditawarkan kepada Dr Aleef terpaksa dikosongkan setelah pengurusan bahagian menyedari status beliau masih ahli Bahagian Kota Melaka beberapa hari sebelum persidangan cawangan.

“Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang perlanggaran peraturan mesyuarat dan perlembagaan parti,” katanya.

Tambahnya lagi, Bersatu bahagian itu turut menafikan sebarang dakwaan bahawa wujudnya sekatan untuk mana-mana ahli menonjolkan diri dan bertanding untuk memegang jawatan.

Malah ujarnya, Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu, Ramlan Meon telah beberapa kali menegaskan keterbukaannya menyuburkan demokrasi dalam parti, dalam masa sama mengingatkan keperluan untuk saling hormat menghormati serta bertoleransi antara semua ahli.

“Oleh itu Bersatu Tangga Batu berasa wujud keperluan untuk memberi penjelasan demi menjaga nama baik Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub yang turut dipalitkan dengan permasalahan kami di peringkat bahagian,” katanya.

Terdahulu, Mohd Aleef berkata, beliau kesal apabila pihak berkenaan masih menganggapnya sebagai Pemuda UMNO sedangkan beliau telah membawa kemenangan di kerusi DUN Sungai Udang.

Menurutnya, kerana persepsi itu, beliau telah dipinggirkan dan kehadirannya di kawasan itu seolah-olah tidak dialu-alukan termasuk tidak dijemput pada persidangan bahagian Bersatu Tangga Batu yang berlangsung Sabtu lalu.

“Jangan bermain politik sesama kita, dan saya bukan nak memburukkan nama Bersatu tetapi ini realitinya,” katanya.

Mohd Aleef turut mengakui layanan yang diterima dalam kalangan Pemuda UMNO jauh lebih baik daripada parti sendiri, namun beliau menegaskan tidak akan meninggalkan Bersatu kerana mengenangkan jasa pemimpin parti itu yang sebelum ini mengangkatnya sebagai calon dalam PRN Melaka.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat