Spekulasi darurat: Agong nasihat rakyat jangan panik

- Advertisement -

CYBERJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan rakyat agar tidak panik dengan khabar angin cadangan mengadakan darurat pentadbiran.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 dan baginda turut prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.

“Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan itu.

“Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat.

Katanya, ia bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Baginda telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, semalam dam sesi menghadap ini telah dimohon oleh Perdana Menteri susulan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang telah dipengerusikan oleh beliau di Putrajaya pada pagi semalam.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri itu untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya,” katanya lagi.

Sementara itu berhubung dengan kenaikan mendadak kes positif harian Covid-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi Covid-19 demi keselamatan diri serta masyarakat.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat