PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menjelaskan bahawa notis yang dikeluarkan terhadap Perikatan Nasional (PN) bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dan bukan keputusan membatalkan pendaftaran gabungan itu.
Dalam siaran media hari ini, JPPM berkata notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 itu bertarikh 22 September 2026 dan memberi PN tempoh yang munasabah untuk menjawabnya.
“Notis tersebut bertujuan untuk meminta Perikatan Nasional memberikan penjelasan berkenaan aduan yang dilaporkan oleh BERSATU kepada JPPM dan notis tersebut bukan keputusan pembatalan pendaftaran,” katanya.
JPPM turut mengesahkan pihaknya mengeluarkan perintah di bawah subseksyen 13(2A) akta sama yang menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September 2026.
Menurut jabatan itu, perintah berkenaan bertujuan menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya.
JPPM menyeru semua pihak merujuk maklumat rasmi jabatan itu dan mengelakkan spekulasi atau penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan.
Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan gabungan itu menerima notis berkenaan serta perintah penggantungan kegiatannya.



