“Deklarasi Anwar dan Kenyataan Zahid Jadi Peringatan Buat PPBM”

- Advertisement -

CYBERJAYA – Deklarasi Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baru merupakan satu peringatan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutamanya kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan pimpinannya ketika ini bukanlah satu kerajaan yang kukuh.

Bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, dengan hanya berbekalkan kelebihan dua atau tiga kerusi sahaja, mana-mana ahli parlimen baik daripada parti mana pun boleh berubah arah menyokong gabungan lain.

“Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga merupakan satu lagi peringatan kepada PPBM supaya berlaku jujur dan amanah di dalam sebarang perbincangan dan ketetapan keputusan yang melibatkan kepentingan semua parti sekutu.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah merupakan satu contoh mudah di mana berlakunya beberapa siri tindakan PPBM yang seolah-olah tidak mencerminkan kemuafakatan yang ada di antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.

“Bermula dengan pertindihan kerusi antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional sehinggalah kepada adanya calon bebas ‘mesra PN’ dan pengumuman Datuk Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri Sabah cukup untuk membawa mesej bahawa PPBM tidak menghormati semangat tersebut malah bertindak sebagai ’pembuli’,” katanya.

Menurutnya lagi, PPBM perlu diingatkan bahawa tidak semudah itu Barisan Nasional akan akur dengan apa jua permainan PPBM.

“Barisan Nasional sudah cukup bertoleransi terutamanya dalam pembahagian kerusi untuk PRN Sabah dan akan menuntut sewajarnya bagi pembahagian kerusi menjelang Pilihanraya Umum kelak.

“Saya berpendapat agar Tan Sri Muhyiddin Yassin usah bertangguh-tangguh dalam menentukan Pilihanraya Umum.

“Yang pasti, rakyat dan negara memerlukan satu kerajaan yang kukuh untuk menggerakkan agenda revitalisasi ekonomi negara yang merudum akibat wabak COVID19 dan cara untuk membentuk kerajaan tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah melalui pembaharuan mandat daripada rakyat melalui Pilihanraya Umum,” ujarnya lagi. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,546FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat