CYBERJAYA – Dakwaan bahawa gelombang Perikatan Nasional (PN) bakal melanda Johor menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang akan berlangsung nanti bagaikan bermimpi di siang hari.
Memetik laporan BH, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata PN tiada kekuatan di negeri ini.
Menurutnya, kekuatan PN di Johor hanya berkisar di bahagian Utara Johor iaitu Pagoh menerusi Ahli Parlimennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Parlimen Mersing.
“Jangan keliru dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri terutama di bahagian utara negara dengan kawasan selatan.
“Itu hanya dakwaan PN, kononnya ada gelombang di Johor sokong mereka. Di Johor cakap Sanusi (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) tidak laku.
“Orang Johor ini sederhana dan tidak ekstrem dengan isu agama dan kaum yang dibawakan PN,” katanya, seperti dilaporkan media hari ini.
Nur Jazlan turut yakin undi majoriti gabungan PH-Barisan Nasional (BN) pada PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram akan meningkat.
“Pada PRU15, November tahun lalu, saya dapat 31,726 undi, manakala Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub memperoleh 64,900 undi dan calon PN ketika itu hanya meraih 20,667 undi.
“Jika undi saya dicampur dengan undi Salahuddin, maka jumlahnya lebih 96,000 undi. Saya yakin undi kepasa PH-BN akan kekal.
“Oleh itu faktanya, di mana datangnya sokongan untuk PN yang mendakwa akan menang jika 90 peratus pengundi Melayu keluar mengundi,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata jentera UMNO akan digerakan membantu kempen terutama di kawasan pengundi Melayu di Tampoi dan Kempas.
“UMNO Bahagian Pulai mempunyai 18,000 ahli. Jentera UMNO akan bersama PH bergerak berkempen dan mendekati pengundi di Parlimen Pulai yang terdiri daripada dua kawasan DUN Kempas dan Perling,” katanya.