Pindaan Peraturan Penerbangan Awam 2016 Dapat Pantau Penggunaan Dron – Wee Ka Siong

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 akan dipinda bagi menambah baik industri dron di negara ini antaranya dengan memperkenalkan sistem permohonan permit penerbangan dron secara dalam talian, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Pindaan dan pengenalan sistem dalam talian akan memberi pendedahan kepada orang ramai berhubung pentingnya penggunaan dron secara terkawal dan selamat.

“Pindaan yang dicadangkan ini bagaimanapun sukar untuk dilaksanakan tanpa adanya sistem dalam talian yang efisien dan bersepadu,” katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Pengoperasi Pesawat Tanpa Pemandu Dron Bersama Media di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Chester Voo berkata apabila pindaan itu berkuat kuasa kelak, CAAM akan memperkenalkan sistem permohonan permit penerbangan dron secara dalam talian itu iaitu Sistem Pengurusan Trafik Pesawat Tanpa Pemandu atau singkatannya UTM.

Voo berkata sistem UTM, yang dijangka siap pada Oktober tahun depan, akan memendekkan tempoh pengeluaran permit penerbangan dron dari 14 hari kepada sehari.

“Sistem UTM akan berperanan sebagai platform untuk pendaftaran pemilikan dron dan permohonan permit penerbangan dron serta memudahkan proses pemantauan dan siasatan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini ketika dron diterbangkan,” katanya.

Beliau berkata sistem UTM juga akan mempercepatkan kelulusan permohonan permit penerbangan dron bagi kegunaan ketika operasi kecemasan seperti bencana alam.

“Bila sistem ini siap kelak, ia akan pendekkan masa kalau untuk hobi, permit akan siap dalam masa sehari tetapi kalau untuk kegunaan kecemasan, permit akan siap dalam masa antara dua hingga tiga jam,” katanya.

Sejak 2020, proses permohonon permit penerbangan dron dilakukan secara manual iaitu mengisi borang permohonan yang dimuat turun melalui laman sesawang CAAM sebelum dihantar kepada pihak berkuasa terbabit untuk penilaian dan kelulusan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,499FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat