Labuan Beralih Ke Fasa Empat PPN Berkuat Kuasa Khamis Ini – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Labuan menjadi wilayah pertama di negara ini beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Nergara (PPN) berkuat kuasa Khamis ini selepas mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peralihan itu berpandukan kadar vaksinasi lengkap dua dos di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Perkara ini disokong oleh data yang menunjukkan trend kes positif COVID-19 harian di Labuan menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut serta kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini menurun ke angka sifar berbanding 30 peratus bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata dengan keputusan itu, semua sektor ekonomi di Wilayah Persekutuan Labuan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 peratus tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Kelonggaran lain ialah seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50 peratus.

“Majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, pemukiman, majlis perjumpaan, dan lain-lain majlis sosial dibenarkan dengan had 50 peratus berdasarkan kapasiti premis atau dewan dengan mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya.

Beliau turut mengumumkan Negeri Sembilan kini beralih ke Fasa Dua PPN berkuat kuasa Khamis ini.

Menurutnya kes COVID-19 di Negeri Sembilan menunjukkan trend penurunan dengan penggunaan katil ICU berkurangan kepada 40 peratus semalam berbanding lebih 120 peratus kapasiti pada hujung Mei.

Perkembangan tersebut juga, katanya, selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi lengkap 72.3 peratus dalam kalangan populasi dewasa serta negeri itu berada pada landasan betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat.

Perdana Menteri berkata kelonggaran yang akan diberikan kepada penduduk Negeri Sembilan adalah sama seperti negeri lain yang telah beralih kepada Fasa Dua PPN.

Kelonggaran tersebut, katanya, termasuk kebenaran pergerakan rentas daerah bagi mereka yang lengkap dua dos vaksin dan pasangan suami isteri jarak jauh dibenar merentas negeri bagi tujuan berjumpa pasangan masing-masing dengan syarat kedua-duanya telah lengkap dua dos vaksin.

“Begitu juga dengan ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun serta menetap di negeri lain dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa dengan syarat kedua-dua ibu bapa atau penjaga mestilah lengkap dua dos vaksin.

“Aktiviti solat di masjid dan surau dibenarkan bagi individu yang juga lengkap dua dos vaksin, tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh pihak berkuasa agama negeri serta aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata pelanggan yang telah lengkap menerima dua dos vaksin juga dibenarkan untuk ‘dine-in’ di restoran, warung dan premis kedai makan, manakala pemilik premis pula wajib memaparkan notis penerimaan pelanggan yang telah lengkap divaksinasi.

Aktiviti pelancongan pula hanya dibenarkan dalam negeri yang sama sahaja dengan syarat wajib telah menerima dua dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan inap desa, katanya.

Dengan perkembangan ini, enam negeri masih berada di Fasa Satu iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah, Johor dan Melaka.

Fasa Dua PPN pula melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah manakala Perlis dan Sarawak di Fasa Tiga. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat