Pendedahan Projek Runding Terus RM6.61 Bilion Zaman PH Mengejutkan – Ka Siong

- Advertisement -

SHAH ALAM – Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh berhubung isu 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan pendedahan itu amat mengejutkan bagi seluruh rakyat Malaysia.

“Sekiranya Kabinet tidak meluluskan tender rundingan terus, agaknya siapa pula yang begitu berkuasa menawarkan tender secara rundingan terus ini?

“Apa sudah jadi? Bukankah Lim Guan Eng selama ini sering sebut PH hanya mengamalkan ‘tender terbuka’? Malah ia termaktub di dalam manifesto (bukan kitab suci) – Buku Harapan!,” soalnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya kira-kira sejam yang lalu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, pendedahan itu dibuat oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa sepanjang pemerintahan PH, sebanyak 101 projek perolehan berjumlah RM6.61bilion telah ditawarkan oleh Kerajaan PH secara ‘direct-nego’ (rundingan terus).

Katanya, selepas pendedahan itu dibuat, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terus terduduk dan akhirnya mengakui bahawa semua tender yang ditawarkan melalui rundingan terus itu diluluskan oleh Kabinet era pemerintahan PH.

“Bagaimanapun Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus bangun dan mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa ia tidak pernah dibincangkan di Kabinet!

“Malah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun turut bangun untuk mengesahkan dakwaan Azmin,” katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan sebanyak 101 projek membabitkan nilai RM6.61 bilion dibuat secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan ketika PH mentadbir negara berdasarkan rekod yang diperolehnya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jumlah tender secara rundingan terus yang diluluskan ketika PH mentadbir.

Tengku Zafrul turut memberi pencerahan bahawa kerajaan melaksanakan perolehan projek kerajaan secara persaingan terbuka melalui kadar perolehan antaranya secara sebut harga, tender terbuka atau tender terbuka pra-kelayakan.

Begitupun katanya, dalam keadaan tertentu kaedah perolehan secara rundingan terus dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan berdasarkan beberapa kriteria termasuk bekalan perkhidmatan melibatkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera ia boleh memudaratkan atau menjejaskan perkhidmatan atau kepentingan negara. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat