KUALA LUMPUR- Impak daripada perlaksanaan pelarasan subsidi diesel pada 10 Jun 2024 dilihat agak minimum apabila kadar inflasi Malaysia kekal 2.0 peratus bulan lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan inflasi pada Jun 2024 didorong oleh kenaikan bagi kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan (3.3 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.8 peratus) dan makanan dan minuman (2.0 peratus).
Beliau berkata, inflasi pengangkutan meningkat 1.2 peratus pada Jun 2024 berbanding 0.9 peratus pada Mei 2024.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh subkumpulan utama pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat kepada 1.7 peratus pada Jun 2024. Kerajaan telah menetapkan harga runcit baharu bagi diesel iaitu RM3.35 seliter berbanding RM2.15 seliter bermula 10 Jun 2024 untuk Semenanjung Malaysia.
“Manakala, harga runcit diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter. Di samping itu, purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Jun 2024 adalah RM3.47 seliter berbanding RM3.37 seliter pada Jun 2023 dan RM3.47 seliter pada Mei 2024,” katanya dalam satu kenyataan berkenaan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada Rabu.
Mohd Uzir berkata, kumpulan pakaian dan kasut dan insurans dan perkhidmatan kewangan masing-masing mencatatkan penurunan kepada -0.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Inflasi restoran dan perkhidmatan penginapan meningkat kepada 3.3 peratus. Ini disebabkan oleh peningkatan subkumpulan utama perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.2 peratus.
“Manakala, inflasi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya pada 3.2 peratus. Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh subkumpulan bekalan air dan pelbagai perkhidmatan berkaitan rumah kediaman, 32.1 peratus,” katanya.
Menurut DOSM, inflasi bagi penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan meningkat 2.8 peratus pada Jun 2024 berbanding 3.0 peratus pada Mei 2024.