KUALA LUMPUR – Wujud permainan kuasa (power play) dalam kepimpinan Umno menjadi punca ketiadaan nama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Dalam podcast Keluar Sekejap yang disiarkan pada Ahad, Khairy Jamaluddin Abu mendakwa ketiadaan nama Tengku Zafrul menjawab persoalan selama ini mengenai kedudukan Menteri MITI itu dalam arena politik di Selangor.
“Selepas nama Tengku Zafrul tidak diumumkan menjadi calon Umno, beliau telah terbitkan kenyataan katanya beliau nak tolong calon Umno tetapi apa yang dengar di sebalik tabir adalah ‘power play’ yang telah berlaku dan saya difahamkan beliau tidak dilibatkan langsung dan hanya tahu bila senarai itu diumumkan, walaupun beliau adalah Bendahari Umno Selangor, salah seorang ketua umno bahagian (Kota Raja).
“Bahkan difahamkan DAP telah mengosongkan satu kerusi mereka… Dusun Tua dan serah kerusi tersebut kepada BN dengan syarat. Bahawa Dusun Tua diberikan kepada Umno-BN sebab nak bagi laluan kepada Tengku Zafrul tetapi pada selekoh terakhir Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz telah cilok masuk ambil kerusi tersebut.
“Inilah ‘power play’ yang sedang berlaku di dalam Umno Selangor,” dakwa bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan pula memaklumkan, DAP tidak berpuas hati dengan tindakan Umno itu.
“Apa yang KJ sebut ini bukan spekulasi khabar angin sebenarnya tafsiran kenyataan daripada Ong Kian Ming, menunjukkan DAP tak puas hatilah kerana mereka kosongkan kerusi itu dengan andaian ia akan beri kepada Tengku Zafrul tetapi orang lain ambil,” ujarnya.
Susulan pengumuman itu Ketua Pemuda Umno Kota Raja, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin berharap Tengku Zafrul Aziz dapat melepaskan jawatan Bendahari Umno dan BN Selangor.
Beliau berkata, adalah tidak wajar Tengku Zafrul terus memegang jawatan utama parti apabila beliau tidak dilibatkan dalam rundingan kerusi dan strategi parti di peringkat negeri.