AKM Kelantan: IKS Catat Untung Hasil Jualan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penganjuran program jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, sejak semalam sememangnya membawa banyak manfaat kepada semua lapisan masyarakat khususnya peniaga industri kecil dan sederhana (IKS).

Seorang usahawan kraf Nor Azizah Ramli, 56, dari Perak berkata jelajah yang berlangsung dari 9 pagi hingga 9 malam itu bukan sahaja menjadi lubuk rezekinya, malah memberi ruang untuknya memperkenalkan produk hasil rimba yang dibawa khas dari Perak kepada masyarakat Kelantan.

Katanya siri jelajah itu juga membantu meluaskan lagi jaringan perniagaan yang diusahakan bersama suami Mohamad Hashim Mohd Adnan, 59, sejak lebih 20 tahun lepas itu, apabila hampir 10 individu menawarkan diri untuk menjadi ejen.

“Pelbagai produk ditawarkan kepada pengunjung dengan harga yang berpatutan, antaranya ialah tudung saji, beg mengkuang, bakul rotan, produk buluh, barangan besi pertanian, seramik, labu Sayong dan sebagainya yang dijual pada harga bermula RM5 sehingga RM189.

“Lagi unik apabila beberapa produk hasil rimba seperti kayu nyiru, kayu semambu, kayu semantul dan kayu tas yang dijual di jelajah ini sukar untuk diperoleh memandangkan ia hanya dibekalkan oleh masyarakat Orang Asli,” katanya ketika ditemui Bernama di reruai perniagaanya, hari ini.

Mengulas lanjut, ibu kepada enam orang anak itu berkata, sambutan pengunjung sejak hari pertama amat baik apabila sekitar 300 datang setiap hari ke reruainya dan beliau mampu menjana hasil jualan sehingga RM1,500 sehari.

“Saya berharap program jelajah AKM ini dapat diteruskan pada masa akan datang memandangkan ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan ekonomi peniaga IKS, bahkan dapat memperkenalkan hasil produk negeri lain kepada masyarakat setempat,” katanya.

Seorang pelanggan Muhammad Zahier Abdul Rahman, 32, dari Tendong, Pasir Mas berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk membeli tongkat Kayu Semantul yang dipercayai boleh digunakan untuk menghalau binatang berbisa.

“Kayu ini sukar untuk diperoleh ditempat lain, selalu hanya dari Perak. Saya teruja apabila berjaya menemui tongkat kayu ini selepas sekian lama mencarinya memandangkan ia sangat berguna untuk menghalau binatang berbisa termasuk ular, lipan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, usahawan rempah jenama Rempah Wau Tradisi, Solihah Che Mat Nasir, 31, berkata program jelajah AKM Kelantan itu menjadi platform untuknya memperkenalkan produk rempah ratusnya kepada orang ramai.

Katanya, ia juga turut membantu meningkatkan hasil jualannya sehingga mampu meraih RM300 sehari berbanding RM100 hasil jualan di kedainya di Pengkalan Chepa.

“Pelbagai rempah-ratus ditawarkan kepada pengunjung seperti serbuk kunyit, serbuk kurma, kerutuk, jintan, sup dan sebagainya yang dijual bermula harga serendah 60 sen sehingga RM12 sepaket bergantung kepada jenis rempah dan berat,” katanya.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat