Shah Alam, 24 Jun 2025 – Industri mobiliti menegak Malaysia memasuki era baharu apabila jenama antarabangsa dari China, Brilliant Elevator Co., Ltd. (BLT), melancarkan secara rasmi jenamanya di pasaran Malaysia. Berpangkalan di bawah Shenyang Yuanda Intelligent Industrial Group, pelancaran ini merupakan satu peristiwa penting dalam rancangan strategik syarikat itu untuk memperluas kehadiran mereka di rantau ASEAN.
Majlis pelancaran yang diadakan di DoubleTree by Hilton, Shah Alam, memperlihatkan gabungan Usahasama strategik0 antara BLT dan rakan strategik tempatan mereka, Dong Yang Elevator (M) Sdn Bhd, yang telah menjadi pengedar sah BLT sejak 2008. Kerjasama ini bukan sekadar perjanjian perniagaan biasa – ia mencerminkan penyatuan nilai, komitmen terhadap kecemerlangan teknologi, dan strategi jangka panjang untuk membina ekosistem industri lif pintar yang mampan di Malaysia.
Menurut Jacky Liu, Pengurus Besar Jualan Antarabangsa BLT, Malaysia dipilih sebagai hentian keempat bagi Jelajah Penjenamaan Global BLT 2025 selepas Vietnam, Arab Saudi dan Mexico. Ini merupakan kali pertama BLT mengadakan pelancaran luar negara secara fizikal di pasaran sasaran. Lazimnya, semua persidangan dan pelancaran produk dijalankan di China, dengan kehadiran pengedar dan pelanggan dari seluruh dunia. Namun, dengan pertimbangan logistik dan komitmen untuk memahami pasaran secara mendalam, BLT kini turun padang dan hadir sendiri ke negara-negara sasaran satu pendekatan yang lebih inklusif dan berfokus.
“Pasaran Malaysia bukan asing bagi kami. Kami telah berada di sini sejak 2008. Ketika itu, pemilihan rakan kongsi memerlukan kami menilai banyak aspek – dari kekuatan kewangan, rangkaian jualan, keupayaan teknikal, hingga nilai teras perniagaan. Akhirnya, kami pilih Dong Yang kerana kami berkongsi prinsip yang sama: teknologi memacu pasaran, perkhidmatan mencipta nilai,” jelas Jacky.
Sementara itu, Yeow Tow Guan, Pengarah Operasi Dong Yang Elevator, berkongsi bahawa lawatan mereka ke kilang BLT di China 18 tahun lalu memberi keyakinan tinggi terhadap kualiti produk dan nilai yang dipegang BLT. “Sikap mereka yang jujur dan telus dalam urusan perniagaan memberi kepercayaan jangka panjang kepada kami. BLT bukan sekadar pembekal, mereka adalah rakan pembangunan,” katanya.
Menurut beliau, cabaran utama dalam pasaran Malaysia ialah sensitiviti terhadap jenama. Pasaran tempatan lebih mudah menerima jenama yang dikenali umum. Namun, setelah hampir dua dekad membina asas kepercayaan, jenama BLT kini mula mendapat tempat di hati pelanggan. “Kita boleh lihat trend positif dari peningkatan jualan tahun-tahun kebelakangan ini. Ia petanda bahawa pengguna di Malaysia semakin menerima BLT sebagai jenama global yang berkualiti,” tambahnya.
Tiga jenis lif BLT kini telah mendapat kelulusan penuh daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), termasuk lif penumpang berkamar motor, lif penumpang tanpa kamar motor, dan lif kargo. BLT juga terkenal dengan kepakaran dalam lif berkelajuan tinggi, termasuk pencapaian terkini mereka di Malaysia – lif berkelajuan 3.5m/s di projek Novo Ampang.
Selain aspek produk, strategi BLT turut menyentuh elemen pembangunan ekonomi. Mereka merancang untuk menubuhkan Pusat Logistik dan Perkhidmatan Pintar Serantau ASEAN di Malaysia. Pusat ini bukan sahaja akan mempercepat penyampaian alat ganti dan perkhidmatan selepas jualan, malah turut berperanan sebagai hab latihan teknikal, pemantauan jarak jauh dan penyelenggaraan pintar.
Menurut Jacky Liu, ini adalah sebahagian daripada transformasi BLT daripada pembekal produk kepada penyedia penyelesaian pintar secara menyeluruh. “Kami ingin buktikan bahawa ‘Buatan China’ bukan lagi tentang kos rendah, tetapi tentang inovasi tinggi, standard antarabangsa, dan sistem pengurusan bertaraf dunia. Kami mahu dunia jatuh cinta kepada produk pintar dari China,” katanya lagi.
Inisiatif ini juga seiring dengan agenda kelestarian, di mana BLT telah menerima pensijilan ISO sebagai pengeluar produk hijau dan tenaga boleh diperbaharui. Produk lif BLT hadir dengan fungsi regeneratif, menjimatkan tenaga dan menyumbang kepada usaha Malaysia untuk menjadi negara karbon rendah.
Satu lagi tumpuan masa depan ialah sektor penggantian dan pemodenan lif sedia ada. Pasaran ini dijangka berkembang selari dengan pertumbuhan bangunan lama di bandar-bandar besar. Dong Yang dan BLT kini sedang membentuk pasukan khas untuk menangani sektor ini dengan lebih agresif, sebagai peluang ekonomi dan tanggungjawab sosial untuk memastikan keselamatan bangunan yang berusia.
Keseluruhan kerjasama ini membawa impak ekonomi yang lebih luas – termasuk pelaburan teknologi, penciptaan pekerjaan berkepakaran tinggi, pembangunan kapasiti tempatan, dan peningkatan imej Malaysia sebagai hab serantau teknologi lif. Dengan strategi jangka panjang dan semangat kerjasama sejati, BLT dan Dong Yang bersedia untuk memacu Malaysia ke hadapan sebagai pusat teknologi lif pintar ASEAN.