KUALA LUMPUR- Rangkaian 5G kedua dijangka mengambil masa selama kira-kira 18 bulan untuk mencapai 80 peratus liputan penduduk menjelang separuh pertama 2026, sekali gus menyamai prestasi liputan Digital Nasional Bhd (DNB) ketika ini.
Penganalisis CIMB Securities, Foong Choong Chen, berkata dalam tempoh berkenaan, pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang terpilih untuk menerajui entiti baharu rangkaian 5G kedua di Malaysia akan terus memajak akses 5G daripada DNB, sekali gus membolehkan ia menawarkan perkhidmatan itu kepada pengguna.
“Bagi MNO yang kekal di DNB, kami melihat ruang untuk mengoptimumkan kos korporat berjumlah RM400 juta setahun dan beberapa pajakan tapak pihak luar berjumlah RM250 juta setahun.
“Selepas dioptimumkan, kami menganggarkan kos pelaburan 5G oleh DNB sebahagian besarnya boleh dibandingkan dengan entiti baharu (selepas mengambil kira harga tender),” katanya dalam satu nota penyelidikan lapor BH.
Choong Chen berkata, jika masih terdapat beberapa perbezaan kos, CIMB Securities berpandangan bahawa ia berpotensi dipulihkan menerusi pembayaran akses borong 5G daripada entiti baharu kepada DNB untuk kawasan yang belum diliputi oleh rangkaian 5G kedua.
“Selain itu, katanya ia juga dapat dipulihkan menerusi insentif atau bantuan kewangan daripada kerajaan kepada DNB,” katanya.
Baru-baru ini, ketiga-tiga MNO utama iaitu CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile menyatakan minat untuk menerajui pembangunan rangkaian 5G kedua.
CIMB Securities berkata, ia selaras dengan jangkaannya bahawa semua MNO yang layak akan mengambil bahagian dalam tender untuk Entiti B bagi menjadikannya proses yang adil, telus dan berdaya saing.
“Pada peringkat ini, proses tender untuk Entiti B tidak jelas, walaupun kami mengumpul daripada sumber industri kami bahawa ia berkemungkinan menjadi Permintaan Tender, bukannya lelongan.
“Walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan proses lelongan, kami percaya harga bidaan mungkin maksimum pada RM2 bilion, iaitu anggaran perbezaan kos kami antara DNB dan Entiti B untuk melancarkan dan mengendalikan rangkaian 5G selama 10 tahun.
“Jika harga bidaan lebih tinggi, pada pandangan kami adalah lebih berbaloi untuk kekal di DNB,” katanya.
Sebelum ini, DNB telah mengumumkan bahawa semua syarat terdahulu di bawah Perjanjian Langganan Saham (SSA) dengan MNO berjaya dipenuhi pada 20 Jun lalu.
Justeru, SSA bersedia untuk disiapkan menjelang akhir Jun untuk semua MNO kecuali Telekom Malaysia Bhd (TM) yang melanggan 14 peratus kepentingan setiap satu dalam DNB.
Maxis mengumumkan bahawa langganan sahamnya dalam DNB telah selesai, manakala CelcomDigi mengesahkan bahawa semua syarat terdahulu di bawah SSA telah dipenuhi dan ia akan menyelesaikan urus niaga yang dicadangkan, termasuk menandatangani perjanjian pemegang saham.
U Mobile pula berkata ia bersedia untuk melengkapkan proses SSA dengan DNB.
Berdasarkan perkembangan semasa, Choong Chen berkata, proses SSA akan dimuktamadkan menjelang akhir bulan ini dengan pengesahan pendaftaran daripada semua MNO utama.
“Langkah seterusnya ialah tender untuk entiti baharu. Dalam kenyataan akhbarnya pada 7 Jun, Maxis telah menyebut bahawa ia bersedia untuk mula membina rangkaian 5G kedua dengan segera (melalui Entiti B). Dalam kenyataan akhbarnya semalam pula, CelcomDigi berkata, ia berada dalam kedudukan terbaik untuk menerajui pembangunan rangkaian 5G kedua memandangkan rangkaian 4G/4G+.
“Sementara itu, U Mobile berkata ia percaya ia berada pada kedudukan yang baik untuk melancarkan rangkaian 5G kedua, jika perlu,” katanya.