CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menyarankan agar dialog dan kerjasama antarabangsa digiatkan supaya pelbagai masalah dan cabaran getir yang dihadapi dunia ketika ini dapat diselesaikan bersama.
“Tiada penyelesaian yang boleh dicapai sekiranya kita melakukannya secara bersendirian.
“Realitinya, keadaan dunia kini jauh berbeza berbanding semasa Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan (Agenda 2030) diperakukan pada tahun 2015.
“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan kadar inflasi tahun ini akan melonjak ke paras purata 5.7 peratus bagi negara maju dan 8.7 peratus bagi negara membangun, malah ada juga negara-negara mengalami kadar inflasi yang tertinggi dalam tempoh 50 tahun.
“Laporan kemajuan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menyatakan terdapat pertambahan sebanyak 95 juta penduduk dunia berada dalam kemiskinan tegar tahun ini, berbanding sebelum pandemik COVID-19.
“Di Malaysia, gangguan yang berlaku dalam ekosistem rantaian bekalan telah menyebabkan peningkatan kos dan harga makanan.
“Bagi mengekang kesan terhadap Keluarga Malaysia, kami akan terus mengurus inflasi dengan sebaik mungkin,” kata Perdana Menteri dalam ucapannya sempena majlis dialog High-Level Dialogue On Global Development.
Dialog tersebut disertai 18 ketua negara dan kerajaan termasuk Rusia, China, India, Thailand, Brazil, Indonesia, Iran dan Kemboja serta beberapa negara lain yang menganggotai Forum Khas BRICS Plus.
Berkongsi lebih lanjut isu dihadapi Malaysia, Ismail Sabri berkata, selain isu kenaikan harga makanan, negara ini turut berdepan dengan cabaran krisis iklim seperti negara-negara lain.
“Pada penghujung tahun lalu hingga awal tahun ini, Malaysia telah dilanda banjir antara yang terburuk dalam sejarah negara apabila mengalami kerugian terkumpul sekitar $1.4 bilion Dollar Amerika (RM6.1 bilion).
“Bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia kekal komited dalam usahanya untuk memacu kemajuan dalam SDG seperti mana termaktub dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).
“Malaysia sedang merangka Pelan Hala Tuju Matlamat Pembangunan Mampan Kebangsaan (2021-2025) Fasa Kedua bagi mengenal pasti bidang keutamaan yang berkaitan.
“Usaha melaksanakan SDG di peringkat tempatan sedang dijalankan oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia.
“Ini adalah model inovatif yang mengumpulkan ahli Parlimen dan pihak berkepentingan tempatan untuk bersama-sama mencari penyelesaian kepada cabaran di peringkat akar umbi,” katanya.
Menurut Perdana Menteri lagi, Malaysia juga berhasrat mempromosikan lebih banyak pelaburan berasaskan pembangunan mampan dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan hijau dan penciptaan pasaran baharu.
“Namun begitu, Malaysia tidak boleh melakukan usaha ini secara bersendirian. Negara-negara yang terlibat dalam sidang kemuncak ini mempunyai kelebihan tersendiri.
“Oleh itu, penting sekali untuk kita bekerjasama dalam usaha mencapai Agenda 2030,” ujarnya.
Perdana Menteri turut mengutarakan tiga cadangan dalam dialog tersebut meliputi Pengukuhan Arkitektur Pembangunan Antarabangsa, Pengukuhan Sistem Pelbagai Hala dan saranan supaya Negara Maju Perlu Memenuhi Komitmen Dalam Menangani Krisis Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
“Usaha perlu dipergiatkan dalam menghadapi cabaran yang saling berkait melalui peningkatan dan pembiayaan yang inovatif, perkongsian teknologi, dan pembangunan keupayaan yang menyokong peralihan ke arah ekonomi global yang lebih hijau.
“Sebagai contoh, negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang merupakan antara negara terkaya di dunia memperuntukkan hanya 0.33 peratus daripada KDNK mereka sebagai Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA) berdasarkan laporannya yang bertarikh 12 April tahun lalu.
“Selain itu, negara-negara maju juga belum mencapai komitmen $100 bilion Dollar Amerika setahun bagi tujuan pembiayaan iklim.
“Oleh demikian, Malaysia menyeru agar komitmen-komitmen yang sudah dipersetujui ini dicapai dengan segera.
“Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan terhadap usaha memupuk kerjasama global dalam keadaan dunia yang penuh mencabar ini.
“Sebagai Rakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Malaysia ingin menyatakan sokongan berterusan terhadap usaha memacu pembangunan global ke arah dunia yang lebih makmur, inklusif dan mampan,” katanya.