Polis Tahan Rakan, Teman Wanita Boy Setan

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki warganegara Singapura dan seorang wanita tempatan semalam, dipercayai rakan dan teman wanita ‘Boy Setan’, iaitu lelaki yang merupakan suspek utama kes penyeludupan dadah menggunakan dron ke Singapura.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, rakan ‘Boy Setan’ yang berumur 41 tahun itu, ditahan di sebuah kondominum di bandar raya ini, manakala teman wanita ‘Boy Setan’ yang berumur 23 tahun pula, ditahan bersama-sama ‘Boy Setan’, di sebuah kondominium di Taman Mount Austin, di sini.

“Semalam (23 Jun), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dengan kerjasama Singapore Police Force (SPF) dan Central Narcotics Bureau (CNB) Singapura, berjaya menahan lelaki warganegara Singapura yang digelar ‘Boy Setan’, yang dikehendaki bersabit kes penyeludupan dadah ke Singapura menggunakan dron, di sebuah kondomininum di Taman Mount Austin, di sini.

“Siasatan mendapati ‘Boy Setan’ dan rakannya itu positif dadah jenis methamphetamine dan kedua-duanya juga merupakan orang dikehendaki, berkaitan kes jenayah dan dadah oleh pihak berkuasa Singapura,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, berdasarkan rekod yang diperolehi, ‘Boy Setan’ dan rakannya itu merupakan ahli kongsi gelap ‘Salakau’ atau Geng 369 di Singapura dan hasil penahanan mereka, polis merampas 37 biji pil ekstasi dianggar seberat 11.83 gram, syabu dianggar seberat 13.6 gram serta heroin dianggar seberat 2.4 gram, yang kesemuanya dianggar bernilai RM2,590.

Beliau berkata, wanita terbabit pula tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan negatif terhadap dadah.

Katanya, ketiga-tiga mereka kini direman sehingga 7 Julai depan, dengan ‘Boy Setan’dan rakan senegaranya itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala wanita berkenaan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ramli Din mengesahkan ‘Boy Setan’ yang berumur 40 tahun, ditahan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Kontinjen Johor hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.

Ayob Khan pada sidang media dua hari lepas pula berkata, ‘Boy Setan’ yang nama sebenarnya Mohamad Azli Ahmad Said, 40, turut dikehendaki pihak berkuasa Singapura, kerana kesalahan berkaitan dadah.

Sabtu lepas, polis telah menangkap dua lelaki Singapura kerana menggunakan dron, untuk menyeludup dadah ke Singapura dari Malaysia.

Menurut SPF dan CNB, data penerbangan yang diambil daripada telefon salah seorang suspek menunjukkan dron itu diterbangkan dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru, sebelum kembali semula ke Kranji.

Susulan maklumat itu, polis Singapura turut menahan seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun, untuk siasatan lanjut.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat