20 naib canselor, rektor universiti awam sokong pendirian UiTM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Jawatankuasa Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) yang terdiri daripada 20 orang Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam Malaysia menzahirkan sokongan terhadap pendirian Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk kekal berpegang kepada Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan isu yang dibangkitkan segelintir pihak berhubung kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke UiTM dengan melabel institusi pengajian tinggi itu sebagai ‘akademi aparteid’.

Menurut Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Ekhwan Toriman berkata, pernyataan yang dibuat penulis itu jelas menampakkan kejahilan beliau terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan tentang kedudukan serta hak Bumiputera di Malaysia.

Tegasnya, dakwaan ini turut mencerminkan kedangkalan serta sifat berat sebelah penulis yang secara tidak langsung, hanya merujuk istilah Bumiputera kepada kaum Melayu semata-mata.

“Sedangkan kaum Bumiputera di negara ini meliputi seluruh masyarakat peribumi Malaysia, termasuklah “orang Melayu dan semua anak negeri dari mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak” (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 153: 163).

“Seperti mana undang-undang negara yang tidak sekali-kali diwartakan sebagai bahan gurauan, begitu jugalah Perlembagaan Persekutuan yang tidak dibentuk untuk menjadi bahan sanggahan.

“Seluruh ahli JKNCR UA berasa terpanggil untuk melahirkan pandangan serta teguran mendidik terhadap kenyataan yang tidak berasas ini,” katanya dalam kenyataan, lapor Utusan pada Jumaat.

Pada masa sama, pihak JKNCR UA turut menyokong kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan bersifat perkauman.

Ini kerana ia boleh mengucar-ngacirkan polisi serta objektif asal penubuhan UiTM.

Sebaliknya, pihak jawatankuasa itu menyeru agar semua pihak harus bersatu hati dan berpadu tenaga dalam usaha mengekalkan kelestarian dan kesejahteraan negara tercinta.

Pada masa yang sama, jelas Ekhwan, para penulis di luar sana diseru agar lebih beradab dan berhemah dalam menyampaikan berita, demi keamanan bersama.

“Kita boleh menerima teguran serta pandangan yang membina, tetapi biarlah berdasarkan fakta. Kebebasan bersuara tidak seharusnya disalah guna sehingga mengabaikan adab dan adat selama ini kita pertahankan.

“Ilmu yang dikongsi seharusnya membawa manfaat dan bukan mengganggu-gugat keharmonian masyarakat dan negara,” katanya.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat