Rakyat Sudah Berkorban, Tak Wajar Salahkan Rakyat – Ahmad Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Rakyat telah berkorban apa sahaja, termasuk akur tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa keluarga, semata-mata mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kalau kerajaan masih salahkan rakyat dengan peningkatan kes positif Covid-19, itu tidak kena pada tempatnya.

“Lagi-lagi rakyat yang salah, lagi-lagi rakyat dikatakan degil tidak mahu melakukan sekatan pergerakan kendiri atau self-lockdown menyebabkan kes Covid-19 semakin parah.

“Saya tidak fikir begitu, malah saya yakin majoriti rakyat kalau boleh memang mahu mengurung diri dan keluarga.

“Rakyat hari-hari bimbangkan keselamatan diri dan keluarga. Jika boleh tidak mahu keluar rumah sehingga keadaan kembali stabil,” katanya yang dipetik menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Zahid, bagaimana mahu melakukan sekatan pergerakan kendiri jika makcik Kiah masih perlu menjaja bagi memastikan dapur rumah terus berasap dan pak Salleh masih perlu terus memandu teksi untuk mengelak rumah serta keretanya disita bank.

Begitu juga, katanya, bagaimana rakyat mahu melakukan sekatan pergerakan kendiri jika 60 peratus pekerja dalam sektor swasta dan 20 peratus dalam sektor awam tetap diwajibkan ke tempat kerja.

Tegas beliau, bukan sedikit jumlah rakyat masih terpaksa mengambil risiko bergerak ke sana ke sini demi kehidupan diri dan ahli keluarga.

“Jangan pula tuduh rakyat “selfish“, tidak tahu duduk diam. Mereka telah buktikan iltizam membendung wabak Covid-19 semasa PKP 1.0 tahun lepas.

“Tetapi, ketika itu mereka dapat bantuan yang memang wajib diberikan oleh kerajaan untuk bertahan sehingga keadaan pulih,” katanya.

Beliau berkata, ketika PKP 3.0, rakyat tidak boleh berhari raya pun akur, malah berkorban menahan hati memendam perasaan begitu lama tidak dapat bertemu ibu dan bapa.

Namun, rakyat bersyukur diberikan kekuatan dan ketabahan mental serta hati.

Justeru, kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, jika mahu rakyat 100 peratus mengurung diri tanpa perlu PKP penuh, kerajaan perlu membantunya.

“Jangan sesedap rasa mahu memberi peringatan kepada rakyat supaya lakukan sekatan pergerakan kendiri seolah-olah rakyat tidak peduli bahaya Covid-19.

“Alasan jika kerajaan terus memberi bantuan kepada rakyat akan memberi kesan kepada ekonomi negara, difahami, namun dalam setiap permasalahan ada resolusinya kerana itu wujud istilah musyawarah bagi mencari jalan penyelesaian.

“Kerana itu juga wujudnya Parlimen sebagai tempat untuk mencapai konsensus terbaik bagi rakyat dan negara,” katanya.

Kata beliau, apabila tiada lagi amalan demokrasi seperti itu dan keputusan bulat-bulat ditentukan oleh satu pihak saja, inilah seperti yang terjadi sekarang.

Oleh itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikatakan tidak mahu laksanakan PKP penuh kerana tidak lagi mampu menanggung skim I-sinar, Prihatin dan moratorium. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat