Thailand bakal bina ‘jambatan darat’ hubungkan Lautan Hindi-Pasifik dengan kos RM122.2 bilion

BANGKOK – Thailand akan teruskan rancangan besar menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik melalui projek ‘jambatan darat’ susulan ketegangan di Selat Hormuz yang menonjolkan kepentingan laluan perdagangan utama dunia.

Timbalan Perdana Menteri Thailand Phiphat Ratchakitprakarn berkata, kerajaan akan mempercepatkan pembangunan projek itu yang dijangka menelan kos sehingga 1 trilion baht (RM122.2 bilion).

“Konflik di Asia Barat telah menunjukkan betapa pentingnya kawalan terhadap laluan pengangkutan,” katanya menurut Agensi.

Projek itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada Selat Melaka, yang kini mengendalikan kira-kira 40 peratus perdagangan global termasuk penghantaran minyak dari Asia Barat ke negara Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

Apabila siap kelak, projek itu dijangka dapat memendekkan tempoh penghantaran sehingga empat hari dan mengurangkan kos logistik sekitar 15 peratus.

“Thailand akan mempunyai kelebihan besar sebagai penghubung antara Lautan Hindi dan Pasifik,” kata Phiphat kepada pemberita.

Pelan pembangunan membabitkan pembinaan dua pelabuhan laut baharu di kedua-dua sisi semenanjung selatan Thailand, yang akan dihubungkan melalui rangkaian lebuh raya dan landasan kereta api.

Sistem itu membolehkan barangan dipindahkan dengan lancar tanpa perlu melalui laluan laut yang sesak, namun projek mega itu turut menerima kritikan.

Penganalisis memberi amaran bahawa kos yang tinggi boleh menimbulkan persoalan mengenai daya maju ekonomi jangka panjang.

Selain itu, pembangunan berskala besar di kawasan selatan Thailand dijangka memberi kesan kepada alam sekitar.

Walaupun begitu, kerajaan melihat projek itu sebagai pelaburan strategik jangka panjang.

Bagi mengatasi kekangan kewangan, kerajaan Thailand merancang membuka projek itu kepada pelaburan sektor swasta melalui proses tender.

Beberapa negara termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menunjukkan minat, manakala syarikat seperti DP World dan New World Development turut dikatakan berminat.

“Projek sebesar ini akan merangsang pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Kami menganggarkan sekitar 200,000 pekerjaan baharu boleh diwujudkan,” kata Phiphat.

Sebelum pembinaan dapat dimulakan, kerajaan perlu meluluskan undang-undang berkaitan.

Phiphat berkata Kabinet dijangka meluluskan rang undang-undang (RUU) itu pada 2026.

Tempoh pembinaan projek dianggarkan mengambil masa sehingga 15 tahun.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat