Najib tak pernah jadi sebahagian konspirasi seleweng 1MDB didalangi Jho Low, Tim Leissner – Roger Ng

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng Chong Hwa menegaskan Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menjadi sebahagian daripada konspirasi penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Roger yang hadir sebagai saksi pembelaan ke-25 buat kali pertama dalam kes dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi Putrajaya pada Khamis kelihatan memakai kot hitam sesekali kelihatan gugup dan teragak-agak untuk menjawab pertanyaan dilontarkan oleh peguam utama pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Kata Roger, beliau tidak percayai Najib adalah sebahagian daripada konspirasi yang didalangi oleh Low Taek Jho atau Jho Low dan bekas rakan sekerjanya, Tim Leissner.

Menurut Roger, pembelaannya dalam kes di Amerika Syarikat (AS) telah menjelaskan beliau bukan seorang konspirator sebaliknya menyalahkan sepenuhnya Leissner dan Jho Low atas manipulasi dan penyalahgunaan dana 1MDB.

Shafee kemudiannya mendedahkan tentang bagaimana Roger pernah mengeluarkan amaran awal kepada pihak pengurusan Goldman Sachs berkenaan pengaruh luar biasa Jho Low dalam urusan perniagaan melibatkan 1MDB.

Kenyataan itu turut dipersetujui oleh Roger bahawa beliau telah mencadangkan agar siasatan dalaman dilakukan terhadap latar belakang ahli perniagaan tersebut.

“Ya, saya ada mengangkat red flag terhadap Jho Low ketika masih bersama Goldman Sachs,” jawabnya lapor MalaysiaGazette pada Khamis.

Namun apabila ditanya sama ada Goldman Sachs bertindak terhadap amaran tersebut, Roger menyatakan, beliau tidak dapat memberi maklumat lanjut kerana perkara itu tertakluk kepada protective order yang dikenakan oleh mahkamah di New York ketika ini.

Hujah Muhammad Shafee, keterangan Roger mengukuhkan naratif Jho Low merupakan dalang utama dalam merangka struktur kewangan rumit yang membolehkan sejumlah besar dana 1MDB dialirkan ke akaun luar negara dan digunakan untuk tujuan peribadi.

Dalam pada itu, Roger mengesahkan, Jho Low yang mula-mula mendekatinya sekitar tahun 2009 bagi membuka jalan kepada Goldman Sachs untuk terlibat dalam pelaburan strategik 1MDB.

Namun dalam proses itu, katanya, banyak keputusan dan penyusunan dibuat tanpa pengetahuan penuh pihak pengurusan atasan di bank tersebut sebaliknya sering kali didorong oleh Jho Low yang memiliki hubungan rapat dengan tokoh-tokoh politik Malaysia.

Ditanya mengenai sejauh mana penglibatan Najib, Roger sekali lagi menafikan wujudnya sebarang bentuk konspirasi langsung antara beliau dan bekas Perdana Menteri itu.

Roger juga menamakan Leissner yang telah mengaku bersalah di mahkamah AS sebagai individu yang menyokong dan melaksanakan perancangan Jho Low dari dalam struktur Goldman Sachs termasuk dalam penerbitan bon yang dikaitkan dengan 1MDB.

Mahkamah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah juga diperdengarkan tentang Roger yang sedang dalam proses menunggu merayu sabitannya di mahkamah AS selepas disabitkan dengan tiga pertuduhan berkaitan penggubahan wang haram dan penipuan pada masa ini.

Roger dilepaskan dan tidak ada keperluan untuk memberikan lagi apa-apa keterangan selepas ini pihak pendakwaan juga tidak mempunyai sebarang soalan untuk di soal balas dengan pegawai bank itu.

Roger dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Persekutuan AS di Brooklyn, New York pada tahun 2023 selepas didapati bersalah membantu menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB.

Ketua Hakim Margo Brodie memerintahkan Chong Hwa diserahkan kepada pihak berkuasa AS untuk dikembalikan di bawah tahanan pihak berkuasa Malaysia.

Difahamkan selepas sebaik siasatan di Malaysia selesai, Roger dikehendaki dibawa kembali ke AS untuk menjalani hukumannya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat