Pelaburan diluluskan melonjak luar biasa, RM329.5 bilion pada 2023

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Prospek pelaburan negara mencapai tahap luar biasa dengan pelaburan diluluskan melonjak kepada RM329.5 bilion tahun lalu, berbanding RM268 bilion pada 2022.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata ia menandakan pencapaian bersejarah untuk negara, terutama fokus bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) serta subsektor maklumat dan komunikasi (ICT).

Beliau berkata, sebanyak 74 peratus projek pembuatan diluluskan antara 2021 dan 2023 sudah selesai atau dalam proses.

“Selain itu, trend positif bagi peluang pelaburan masa depan adalah menerusi nilai besar kerja pembinaan peringkat awal yang selesai iaitu sebanyak RM31.5 bilion tahun lalu, manakala RM26.3 bilion pada 2022.

“Sebanyak 81.2 peratus atau 4,143 projek berbanding keseluruhan 5,101 projek pelaburan diluluskan pada 2023, adalah dalam sektor perkhidmatan, manakala 883 projek dalam sektor pembuatan dan sektor utama (75 projek),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, penubuhan Jawatankuasa Strategik Semikonduktor Nasional (NSSTF) adalah antara tindakan segera dilakukan kerajaan bagi merangsang pelaburan strategik ke negara ini.

Beliau berkata, NSSTF ditubuhkan bagi memudahkan kerjasama antara kerajaan, pemain industri, universiti, dan pihak berkepentingan untuk menempatkan industri semikonduktor Malaysia di barisan hadapan.

Selain itu, katanya, ia bertujuan memastikan pertumbuhan berterusan industri E&E, terutama sektor semikonduktor sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara.

“Selain itu, mengupayakan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hijau pilihan serta menghapuskan halangan dan birokrasi dalam penyediaan dan aksesibiliti kepada tenaga boleh baharu, terutama bagi industri teknologi baharu, termasuk pusat data.

“Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) untuk menyokong ekosistem lebih luas bagi kluster industri E&E yang terpusat berpusat di kawasan utara, terutama di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas dan Batu Kawan di Pulau Pinang serta Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kedah,” katanya.

Amir Hamzah berkata, keseluruhan tindakan segera itu sudah dibentangkan kepada hampir 70 pelabur dana kewangan dan ahli korporat dalam pertemuan di PNB House dan Asia House, ketika beliau mengetuai delegasi negara ke Mesyuarat Bersama Pelabur di London, antara 20 hingga 22 April lalu.

Mesyuarat dan sesi dialog bersama pelabur kewangan dan pasaran modal itu adalah sebahagian daripada rangka lawatan kerja beliau sempena Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia (WBG) 2024 di Washington, Amerika Syarikat dari 17 hingga 19 April lalu.

“Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tindakan bersepadu yang mencerminkan betapa seriusnya kita dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan di rantau ini.

“Kerajaan juga amat serius menjadikan pelaburan sebagai agenda nasional melalui penubuhan platform pemudahcaraan pelaburan di peringkat tinggi bagi memastikan pelaksanaan pelaburan strategik yang berpotensi dan diluluskan melalui pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’,” katanya.

Beliau berkata, pertemuan dengan pelabur antarabangsa di New York dan Washington sudah diadakan sebelum ini, bertujuan menjelaskan hala tuju pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI.

Katanya, ia bagi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap tahap ekonomi negara serta memperkukuhkan persepsi dan sentimen pelaburan pelabur asing terhadap Malaysia.

“Tahap keyakinan tinggi dan sentimen pelaburan yang kukuh akan dapat meningkatkan pengaliran masuk pelaburan asing langsung ke dalam negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat