5G: TIKUS BAIKI LABU?

- Advertisement -

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, untuk menilai semula kaedah pelaksanaan infrastruktur 5G Malaysia boleh memberi gambaran yang salah kepada pelabur asing dan tempatan mengenai ruang perniagaan yang stabil di Malaysia.

Ia memberi gambaran apa sahaja pelaburan di negara ini berisiko dimusnahkan oleh pertukaran kepimpinan kerajaan. Ini tidak sepatutnya berlaku terutama dalam kes-kes melibatkan pelaksanaan polisi yang telah melalui kajian mendalam dan telah pun matang dalam pelaksanaan.

Kenyataan untuk menilai semua kaedah pelaksanaan 5G dari Rangkaian Borong Tunggal (SWN) kepada model rangkaian teras berbilang pengendali (multi-operator core unit atau MOCN) boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan Malaysia di mata pelabur.

Pertama, keputusan melaksanakan kaedah SWN bukan keputusan politik.

Pada Disember 2019, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan “Laporan Akhir Mengenai Peruntukan Jalur-Jalur Spektrum Bagi Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih Di Malaysia“mencadangkan “entiti tunggal untuk rangkaian 5G”.

Pendekatan ini adalah untuk mengurangkan perbelanjaan modal dengan meminimumkan kos dan mengelakkan pertindihan infrastruktur, sementara penambahbaikan rangkaian 4G masih boleh diteruskan.

SKMM mencadangkan supaya jalur spektrum 5G diperuntukkan kepada satu konsortium yang dibentuk oleh berbilang pengendali telekomunikasi namun tidak mendapat sambutan.

Telco tidak begitu berminat melabur dalam pembangunan 5G ke seluruh negara dalam masa yang pantas kerana ia tidak menguntungkan. Justeru kerajaan menubuhkan Digital Nasional Berhad (DNB). DNB bukan syarikat milik kroni atau mana-mana jutawan maha kaya. Ia adalah syarikat milik kerajaan.

Kedua, penilaian semula kaedah SWN ini akan menjejaskan keyakinan bank-bank terhadap pelaksanaan projek kerajaan.

Apabila ditubuhkan DNB ia tidak mendapat dana kerajaan. Kos pembangunan 5G akan dibiayai secara eksklusif oleh sektor swasta. Beberapa bank tempatan dan luar negara telah memberi komitmen membiayai pembangunan infrastruktur 5G ke seluruh negara berdasarkan model SWN ini.

Sebarang perubahan model pembangunan 5G negara boleh menyebabkan perubahan kepada pembiayaan yang diperolehi oleh DNB.

Malah pada masa hadapan, mungkin syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang lain akan berhadapan dengan defisit kepercayaan dalam kalangan sistem perbankan antarabangsa.

Ketiga, sebarang perubahan dasar 5G negara juga akan menjejaskan kredebiliti tender antarabangsa Malaysia.

Perolehan pembangunan teknologi 5G telah pun dimenangi oleh syarikat antarabangsa, Ericsson, secara tender terbuka berdasarkan keperluan pemasangan di seluruh negara.

Keempat, sebarang perubahan kepada dasar SWN sekarang akan menyebabkan DNB berhadapan krisis kewangan dan kesukaran membayar semula pinjaman.

Fahmi Fadzil mengumumkan peratus capaian rangkaian 5G di Malaysia setakat penghujung Mac lepas telah mencapai 55 peratus dan berada pada landasan tepat dalam memastikan sasaran 80 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan rangkaian 5G sebelum akhir tahun ini.

Pembangunan model DNB berdasarkan projeksi perniagaan SWN. Sebarang perubahan kepada kaedah ini akan menjejaskan aliran pendapatan DNB untuk membayar semula pinjaman bagi pembinaan prasarana 5G.

Mengapa kaji lagi?

Desakan kajian semula ini bukan baharu. Apabila berlaku pertukaran kepimpinan dari Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, isu ini dibangkitkan lagi.

Berhadapan kritikan Telco yang merasakan mereka diketepikan, kerajaan bersetuju membenarkan Telco utama mempunyai pegangan saham dalam DNB – walaupun pada awal cadangan SKMM tahun 2019 mereka tidak menunjuk minat untuk bekerjasama.

Telco boleh berhujah apa sahaja. Namun SKMM telah melihat kegagalan mereka memberi akses yang adil kepada masyarakat luar bandar dalam pembangunan prasarana 3G dan 4G menyebabkan kaedah SWN ini diperkenalkan.

Mereka mahukan hak mengendali sendiri kerana mahu untung lebih untuk membina prasarana 5G mengikut kawasan yang menguntungkan dan meninggalkan DNB menanggung kos pembangunan di kawasan luar bandar.

Perdana Menteri melaungkan beliau tidak akan menjadi alat kepada kumpulan maha kaya. Namun sedikit demi sedikit, dari usaha menamatkan monopoli beberapa syarikat sehinggalah kepada isu DNB, ternampak kerajaan hari ini jauh lebih teruk terdedah kepada lobi kumpulan maha kaya ini.

Kerajaan perlu menumpukan usaha mengembangkan ekonomi dengan mewujudkan pembangunan sektor baharu, bukannya menjadi tikus membaiki labu.

*Artikel ini kali pertama tersiar dalam Sinar Ahad, 23 APRIL 2023

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat