Pendaftaran Tabika Perpaduan dibuka sehingga 31 Ogos ini

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Permohonan kemasukan ke Tabika Perpaduan bagi sesi tahun 2027 kini dibuka bermula 15 Mac sehingga 31 Ogos ini dan boleh dibuat secara atas talian.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan berkata Tabika Perpaduan menawarkan pendidikan prasekolah yang berkualiti dengan kurikulum berstruktur bagi menyediakan kanak-kanak menghadapi alam persekolahan di Darjah Satu.

“Bermula tahun 2026, Tabika Perpaduan akan mengaplikasikan Kurikulum Prasekolah 2026 yang menekankan pembangunan menyeluruh kanak-kanak dari segi kognitif, emosi, sahsiah serta nilai perpaduan dan kenegaraan.

“Setakat ini, terdapat 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan jumlah murid seramai 34,817 orang, menjadikan institusi ini antara platform penting dalam membina asas pendidikan awal serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda, ”kata kenyataan itu.

Katanya, syarat kemasukan ke Tabika Perpaduan adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang mempunyai Sijil Kelahiran dan MyKad, serta berumur empat hingga enam tahun.

“Keutamaan juga diberikan kepada pemohon yang tempat kediaman atau tempat kerja ibu bapa berada dalam lingkungan 10 kilometer dari lokasi Tabika Perpaduan, ”katanya lagi.

Dalam kenyataan yang sama, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata Tabika Perpaduan diperkukuhkan melalui Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021–2030, iaitu inisiatif strategik kementerian bagi memberi suntikan dan nafas baharu kepada program pendidikan awal kanak-kanak di bawah kementerian.

Menurut beliau pelan ini bertujuan memperkukuh peranan Tabika Perpaduan sebagai institusi yang bukan sahaja membangunkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh, malah membentuk
generasi yang mempunyai semangat cintakan negara serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Ujarnya, pelan ini merangkumi pemantapan secara menyeluruh meliputi aspek kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran, pembangunan profesionalisme guru, tadbir urus, jalinan kerjasama dengan komuniti serta sistem pemantauan yang lebih berkesan.

“Enam teras utama digariskan bagi mencapai matlamat tersebut, antaranya memantapkan elemen kenegaraan, perpaduan dan nilai murni dalam kurikulum, memperkukuh profesionalisme guru Tabika Perpaduan, mengukuhkan jalinan kerjasama bersama komuniti, mempertingkat kaedah pengajaran dan pembelajaran, memantapkan tadbir urus pengurusan serta memperkasakan
mekanisme pemantauan dan penilaian, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, kementerian mengalu-alukan ibu bapa dan penjaga yang berminat untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke Tabika Perpaduan bagi mendapatkan pendidikan awal yang berkualiti dalam persekitaran yang menekankan nilai perpaduan, hormat-menghormati dan keharmonian masyarakat majmuk.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat