TEHRAN – Pasukan Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) mengumumkan bahawa mereka telah melancarkan gelombang serangan ke-77 terhadap Israel serta beberapa pangkalan tentera United States di rantau Timur Tengah.
Menurut kenyataan yang disiarkan agensi berita Iran, Tasnim, serangan itu menyasarkan bahagian utara, tengah dan selatan Israel menggunakan peluru berpandu berat serta dron pemusnah, termasuk sistem senjata yang dikenali sebagai Khyber Shaken.
IRGC turut mendakwa serangan tersebut menyasarkan beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau Teluk, termasuk Ali Al Salem di Kuwait, Prince Sultan di Saudi Arabia serta Al-Dhafra di United Arab Emirates.
Dalam kenyataan sama, IRGC menegaskan bahawa tindakan Presiden Donald Trump yang dianggap tidak konsisten tidak akan menyebabkan Iran mengabaikan operasi ketenteraan mereka.
“Perilaku bercanggah Trump tidak akan menyebabkan kami melupakan medan perang dan kami akan terus meneruskan pertempuran,” kata jurucakap IRGC.
Ketegangan di Timur Tengah terus meningkat sejak konflik antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat tercetus, dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan misil dan dron yang menyasarkan sasaran ketenteraan di beberapa negara rantau tersebut.
Penganalisis keselamatan memberi amaran bahawa eskalasi konflik ini boleh meningkatkan risiko ketidakstabilan serantau serta memberi kesan kepada bekalan tenaga global, memandangkan banyak kemudahan minyak dan laluan penghantaran utama dunia berada di kawasan berkenaan.



