KUALA LUMPUR: Bagi meringankan beban perantau anak kelahiran negeri itu pulang berhari raya, seramai 5,000 akan menerima boucar petrol/diesel menerusi program “Moh Balik Raya Ke Pahang 2025”.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 1,000 penerima pertama menerima baucar pada hari ini, sebelum diagihkan kepada 4,000 yang lain.
Jelas Wan Rosdy, pemberian baucar itu adalah inisiatif kerajaan negeri untuk meringankan beban anak perantau dan memastikan mereka pulang beraya.
“Tak banyak (bantuan), tapi ia bukan soal nilai, tapi tanda ingatan tulus ikhlas untuk anak Pahang balik beraya.
“Hari ini ada 1,000 (penerima) yang datang, terima kasih. Kalau ada duit (lebih), bukan RM100 tapi RM200 pun kita beri,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Baucar Moh Balik ke Pahang 2025 di Stadium Titiwangsa di sini, hari ini.
Katanya lagi, program berkenaan yang memasuki tahun kedua penganjuran bertujuan menggalakkan anak kelahiran itu pulang menyambut Aidilfitri di Pahang.
Sementara itu, dalam ucapannya, Wan Rosdy beriltizam menjadi negeri Pahang setanding dengan negeri maju yang lain seperti Selangor dan Johor.
Beliau juga mengingatkan perantau anak Pahang agar tidak terpengaruh dengan dakyah sesetengah pihak yang mengelarkan negeri itu sekular dan tidak islamik.
”Tuduhan sekular dan tidak islamik adalah fitnah dan pembohongan sesetengah pihak kepada kerajaan negeri Pahang,
“Sepanjang saya menjadi Menteri Besar, sebanyak 37 buah masjid telah dibina dan akan dibina, jemaah haji pula akan menerima wang saku sebanyak RM750 setiap seorang dan macam-macam lagi,
“Sebanyak RM196.06 juta dalam usaha menyuburkan, mengembangkan dan mengukuhkan lagi syiar Islam di bumi Pahang, bertambah sebanyak RM33.53 juta berbanding tahun lalu.” Katanya.