KUALA LUMPUR — Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin, masih memegang jawatan Ketua Pembangkang sehingga kini.
Menurutnya, setakat ini tiada sebarang notis rasmi diterima daripada blok pembangkang berhubung pertukaran jawatan tersebut.
“Status jawatan Ketua Pembangkang kekal seperti sedia ada. Sekiranya ada pemakluman bertulis diterima, barulah pengumuman rasmi akan dibuat.
“Saya masih menantikan sebarang perkembangan. Selagi tiada dokumen rasmi diserahkan, tiada perubahan boleh diumumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Parlimen bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Bangunan Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan media mengenai sama ada pihaknya telah menerima pemberitahuan daripada Perikatan Nasional(PN) berkaitan cadangan pertukaran Ketua Pembangkang.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Yang Dipertua Dewan Negara, Awang Bemee Awang Ali Basah.
Terdahulu pada Ahad, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan mengambil alih peranan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, dengan nama calon yang bakal mengisi jawatan itu akan diumumkan kemudian.
Menurutnya, keputusan tersebut dicapai menerusi Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang dipersetujui semua parti komponen gabungan berkenaan.
Isu berhubung kedudukan Ketua Pembangkang timbul susulan kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia(BERSATU) yang menyaksikan Datuk Seri Hamzah, bekas Timbalan Presiden parti itu, digugurkan keahlian.



