Pendakwa raya tak bantah Zahid mohon pembebasan penuh 47 kes seleweng dana Yayasan Akalbudi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, pendakwa raya tidak membantah permohonan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapat pembebasan penuh daripada 47 pertuduhan melibatkan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad memaklumkan, beliau diarah hadir dan memaklumkan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak membantah permohonan tersebut.

Beliau turut memberitahu, pihak pendakwaan tidak memfailkan afidavit bagi menjawab permohonan yang difailkan oleh pasukan peguam mewakili Timbalan Perdana Menteri.

Terdahulu, Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor meminta kepastian sama ada pihak pendakwaan memfailkan afidavit jawapan seperti yang diarahkan sebelum ini.

“Tiada afidavit (difailkan). Arahan yang diberi setakat ini adalah untuk hadir (prosiding) dan tiada bantahan terhadap permohonan,” ujarnya.

Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan mengesahkan kepada pihak media, isu bahawa pendakwaan tidak membantah permohonan Ahmad Zahid, merupakan kali pertama dimaklumkan kepada mahkamah.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran permohonan Ahmad Zahid untuk mendapat pembebasan penuh terhadap 47 pertuduhan – 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, permohonan tersebut belum didengar selepas Badan Peguam Malaysia mengemukakan permohonan untuk membantah permohonan Zahid.

Hisyam bagaimanapun membantah permohonan tersebut atas alasan Badan Peguam tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk bertindak dalam prosiding hari ini.

Menurut Hisyam, badan itu perlu bersandarkan kepada peruntukan undang-undang mana yang membolehkannya hadir dalam prosiding tersebut.

“Mereka tidak sepatutnya dibenarkan hadir dan berhujah terhadap permohonan pembebasan anak guam kami.

“Pendirian Badan Peguam Malaysia tidak wajar diberi pertimbangan. Jika mereka tidak berpuas hati dan mahu mencelah, ia boleh disalurkan melalui permohonan semakan kehakiman,” katanya menurut laporan MalaysiaGazette pada Selasa.

Hisyam selanjutnya menghujahkan agar permohonan Badan Peguam ditolak.

Ujar beliau, Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah memaklumkan untuk tidak mengenakan tindakan lanjut (NFA) terhadap Zahid.

Oleh yang demikian, hujah peguam, keputusan yang wajar pada peringkat ini adalah sama ada mahkamah membenar atau menolak permohonan pembebasan penuh Zahid.

Bagaimanapun, Hakim Nurulhuda membenarkan pemohonan peguam Collin Andrew bagi pihak Badan Peguam untuk berhujah terhadap pendiriannya atas alasan permohonan Zahid melibatkan kepentingan awam.

Mengikut 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid didakwa menggunakan dana yayasan itu untuk membuat enam pembayaran kad kredit persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat terlibat mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Sementara 27 pertuduhan pengubahan wang haram, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat