PAS berdepan spekulasi perpecahan dalaman susulan isu Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR, 24 Feb 2026 — Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dikatakan berdepan tekanan dalaman susulan dakwaan wujud usaha oleh kumpulan tertentu dalam parti itu untuk mengekalkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang, meskipun keputusan rasmi Perikatan Nasional (PN) menetapkan jawatan tersebut perlu dipegang oleh wakil PAS.

Menurut sumber dalaman Perikatan Nasional, terdapat gerakan yang sedang mengumpul sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang bagi memastikan Hamzah kekal menerajui blok pembangkang di Dewan Rakyat, walaupun beliau bukan lagi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Seorang Ahli Parlimen PN yang enggan dinamakan mengakui usaha tersebut wujud, namun menyifatkannya sebagai inisiatif individu dan bukan pendirian rasmi parti.

“Memang ada usaha mengutip sokongan untuk mengekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang. Usaha ini diketuai oleh seorang pemimpin PAS yang selama ini diketahui rapat dan sering dikaitkan dengan gerakan Hamzah,” katanya kepada SuaraTV.

Bagaimanapun, menurut sumber berkenaan, usaha tersebut tidak mendapat restu pucuk pimpinan tertinggi PAS.

Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, dikatakan berpendirian bahawa jawatan Ketua Pembangkang perlu disandang oleh wakil PAS selaras dengan keputusan rasmi gabungan Perikatan Nasional serta kedudukan PAS sebagai parti dengan jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam blok pembangkang.

“Pendirian Presiden jelas, jawatan itu perlu diberikan kepada PAS. Sebarang usaha lain tidak mewakili pendirian rasmi parti,” kata sumber itu lagi.

Mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang berlangsung Ahad lalu telah memutuskan bahawa PAS sebagai parti terbesar dalam gabungan itu akan memegang jawatan Ketua Pembangkang, namun nama calon masih belum dimuktamadkan.

Perkembangan ini berlaku susulan pemecatan Hamzah daripada Bersatu pada 13 Februari lalu, yang sekali gus menamatkan kedudukan beliau sebagai wakil rasmi parti tersebut dalam Parlimen.

Di bawah peruntukan sedia ada, Hamzah kini dianggap sebagai Ahli Parlimen Bebas, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian beliau untuk terus memegang jawatan Ketua Pembangkang yang secara tradisinya diwakili oleh parti terbesar dalam blok pembangkang.

Dalam pada itu, sumber dalaman Bersatu memaklumkan bahawa parti itu akan menolak sebarang usaha untuk mengekalkan Hamzah dalam jawatan tersebut.

“Pendirian Bersatu jelas. Hamzah bukan lagi ahli parti, dan jawatan Ketua Pembangkang seharusnya mencerminkan struktur rasmi parti dalam Perikatan Nasional,” kata sumber berkenaan.

Spekulasi ini menimbulkan tanda tanya mengenai kesepaduan dalaman pembangkang, khususnya PAS, yang kini berada di persimpangan antara keputusan rasmi parti dan gerakan tertentu yang didakwa cuba mengekalkan status quo.

Sehingga kini, pucuk pimpinan PAS belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan kewujudan gerakan dalaman tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat