KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu bukan bermatlamat untuk dijadikan sebagai ‘poster boy’ sekali gus calon Perdana Menteri.
Sebaliknya, pelantikan Naib Presiden Pas tersebut adalah lebih untuk memperkasa gabungan itu dengan membina semula kekuatan dari akar umbi di seluruh negara.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apa yang penting kepada Pas adalah Samsuri diterima secara sebulat suara oleh komponen PN lain untuk diangkat menjadi Pengerusi.
Katanya, ketika nama Samsuri dicalonkan Pas sebagai Pengerusi PN, pertimbangannya tidak melibatkan menjadikan Menteri Besar Terengganu itu sebagai calon Perdana Menteri.
“Pengerusi PN perlu diisi terlebih dahulu dan semua komponen PN telah menerima beliau. Buat masa ini, kami fokus untuk memperkasakan (jentera dan akar umbi) PN di seluruh negara.
“Soal ‘poster boy’ untuk calon Perdana Menteri, itu bukan pertimbangan Pas,” katanya menurut Utusan.
Pada Ahad, Samsuri dilantik menjadi Pengerusi PN selepas peletakan jawatan pendahulunya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.
Pada 30 Disember 2025, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari lalu, selepas mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, selepas selesai pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi, fokus PN kini mula terarah bagi menyelesaikan masalah dalaman dan luaran gabungan tersebut selain membela isu rakyat.
“Bagi Pas sendiri, tidak perlu calon Perdana Menteri jika jentera parti lemah. Permasalahan dalaman dan luaran PN perlu diatasi juga dan kita fokus untuk membela isu rakyat serta isu negara yang sangat banyak pada masa kini,” katanya.



