KUALA LUMPUR – Siasatan berhubung isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki perlu diberi keutamaan berbanding tindakan terhadap Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, perkara yang perlu disiasat dalam isu berkenaan adalah melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana terdapat kes, bukti dan dokumentari, bukannya Rafizi.
Katanya, tindakan menyiasat bekas Menteri Ekonomi itu adalah tidak wajar dan disifatkan sebagai satu bentuk intimidasi serta ugutan.
“Sekiranya terdapat penemuan seperti jongkong emas, wang tunai dalam jumlah besar atau barangan berharga di premis berkaitan Yang Berhormat Pandan, keadaan itu mungkin berbeza, namun perkara sedemikian tidak berlaku.
“Hanya satu, dua laporan terus diambil tindakan. Ini bukan soal beliau sahabat atau kawan saya, tetapi biarlah keadilan itu benar-benar dapat dilihat. Jangan SPRM dijadikan alat,” katanya ketika membahaskan Usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat, lapor Utusan pada Selasa.
Pada masa sama, Hassan menggesa kerajaan mendengar tuntutan rakyat termasuk daripada Parlimen supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemilikan saham membabitkan Azam seperti dilaporkan media antarabangsa.
Beliau turut mencadangkan supaya bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilantik mengetuai RCI berkenaan.
“Walaupun Jawatankuasa Khas Siasatan telah ditubuhkan, langkah itu masih tidak memadai kerana skopnya disifatkan terlalu kecil, justeru RCI diperlukan bagi memastikan siasatan yang lebih menyeluruh,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Azam bagaimanapun pada sidang media baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Selain itu, Rafizi mendakwa siasatan SPRM terhadapnya berhubung dua dasar utama kerajaan adalah satu bentuk intimidasi, susulan pendiriannya yang lantang menuntut Azam digantung tugas.
Menurut beliau, tuduhan salah laku dan rasuah itu berkisar kepada Program Visi Silikon serta Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas melalui proses kelulusan kerajaan termasuk di peringkat jawatankuasa, Kabinet dan Jemaah Menteri.
Rafizi berkata, laporan terhadapnya dibuat oleh pertubuhan yang didakwanya anti Perdana Menteri iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), selain individu perseorangan.



