UiTM Kekal Matlamat Lahirkan Lebih Ramai Graduan Bermutu – Dr Raduan

- Advertisement -

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan meneruskan hasrat melahirkan graduan yang ramai dan bermutu disamping memastikan mereka mendapat tempat dalam pekerjaan di pelbagai sektor termasuk menjadi usahawan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) universiti itu, Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, institusi pengajian tinggi tersebut juga akan mengekalkan matlamat untuk menjadi pemain akademik di peringkat global.

“Matlamat kita ketika ini menjadi antara universiti terkemuka global, selaras dengan moto universiti. Namun, UiTM tidak akan terlalu mengejar ranking tersebut kerana apa yang lebih penting adalah melahirkan lebih ramai graduan bermutu tinggi.

“Ini kerana kebanyakan ranking yang dibuat beberapa pemerhati ini melihat kepada penghasilan jurnal berkualiti dan berimpak tinggi yang dihasilkan oleh sesebuah universiti,” katanya ditemui pada sesi perjumpaan dengan pengurusan eksekutif universiti, itu hari ini.

Berdasarkan laporan World University Ranking 2023 daripada Times Higher Education (THE) yang dikeluarkan pada Oktober 2022, kedudukan UiTM dalam negara menunjukkan sohor penurunan dalam tempoh lima tahun iaitu ke-11 pada 2019, 2020 (ke-13), 2021 (ke-15), 2022 (ke-16) dan jatuh lima anak tangga pada 2023 iaitu ke-21.

Malah, kedudukan universiti terbesar itu di peringkat antarabangsa berada pada tangga 1,001+ dalam tempoh sama hanya bertahan selama tiga tahun iaitu 2019 hingga 2021 sebelum terus menurun pada 2022 (1,201+) dan 2023 (1,501+).

Sementara universiti lain dalam laporan sama menunjukkan Universiti Malaya (UM) kekal berada pada kedudukan pertama pada tahun ini walaupun turun pada peringkat antarabangsa iaitu 351-400 berbanding 300-350 pada 2022.

Kedudukan lima universiti tempatan terbaik bagi tahun ini menunjukkan, Universiti Teknologi Petronas (UTP) berada di tempat ke-2, diikuti Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Universiti Sains Malaysia (USM) yang berada pada kedudukan lima terbaik pada 2022 terkeluar dari senarai pada tahun ini apabila berada di tempat ke-6. Sementara UUM pula pada tahun ini naik empat anak tangga berbanding 2022.

Raduan ketika mengulas kedudukan tersebut memaklumkan beliau bertekad memperbaiki kedudukan universiti itu, namun tidak bergantung sepenuhnya pada laporan berkenaan dalam menentukan reputasi UiTM.

“Beberapa perancangan dibuat universiti sebelum ini sudah membuahkan hasil, iaitu lebih ramai graduan UiTM mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor,” ujarnya.

Dalam pada itu, Raduan turut meminta masyarakat tidak keliru melihat perbezaan antara UiTM dan sayap pelaburannya, UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UiTM Holdings).

Menurutnya, kerugian syarikat tersebut yang dilaporkan sebelum ini sedikit mencalarkan imej universiti berkenaan sedangkan syarikat itu mempunyai lembaga pengarahnya sendiri dan berdaftar secara sah di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“UiTM dan UiTM Holdings adalah dua entiti berbeza, jadi tidak sepatutnya UiTM pula yang dipandang serong oleh orang awam disebabkan isu yang melanda anak syarikatnya.

“Apapun, kes yang melibatkan UiTM Holdings ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, jadi saya tak mahu mencampuri urusan tersebut,” jelasnya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat