KUALA LUMPUR – Kerajaan memandatkan Tun Razak Exchange (TRX) sebagai hab kewangan antarabangsa Malaysia.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, TRX perlu berusaha menarik industri kewangan global supaya berupaya menjadi destinasi utama pelaburan asing berkualiti tinggi yang boleh memperkukuh ekosistem perniagaan di Malaysia.
Dalam perkembangan lain, kata Perdana Menteri lagi kerajaan juga bercadang untuk memperkukuh pembangunan Iskandar Malaysia di Johor melalui pewujudan zon khas kewangan dengan pakej imbuhan yang berdaya saing bagi menarik pelabur antarabangsa dan pekerja berpengetahuan menetap di Malaysia.
Anwar berkata, bagi mendukung dan menggalakkan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong, kerajaan bercadang untuk membesarkan dan
meningkatkan keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Subang.
“Cadangan pembesaran yang akan diterajui oleh MAHB ini dijangka memanfaatkan pertumbuhan ekonomi pada kos yang jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan RM7 bilion.
“Tumpuan juga diberikan bagi menyokong projek pembangunan Pelabuhan Sanglang di Perlis bagi mengendalikan kargo petroleum dan
kargo pukal yang akan memberi nilai tambah kepada ekonomi Perlis.
Dalam masa yang sama, Anwar berkata, kerajaan akan membina struktur baharu hakisan pantai antara Kuala Sanglang, Perlis ke Kuala Jerlun Kubang Pasu, Kedah.
“Bagi menyokong perkembangan perdagangan antarabangsa, kerajaan mendukung cadangan pembangunan pelabuhan utama di Pulau Carey oleh pihak swasta.
“Projek ini dijangka dapat memperkukuh pelabuhan Klang sebagai pelabuhan hab utama untuk rantau Asia Tenggara,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.



