CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) amat menghargai pembentangan Belanjawan 2023 hari ini yang menepati hasrat menjaga kesejahteraan kanak-kanak dan memperkasakan kerjaya wanita.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementeriannya berterima kasih atas sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengambil kira cadangan KPWKM berkaitan perkara tersebut.
“Saya ingin menekankan beberapa perkara yang telah diperuntukkan kepada KPWKM pada tahun ini.
“Bagi pihak KPWKM, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sokongan YAB Perdana Menteri dalam mempertimbangkan cadangan kami untuk mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak.
“Dengan pengumuman ini, KPWKM bersedia untuk bekerjasama rapat dengan agensi-agensi pusat seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam dalam memperincikan Jabatan ini secepat mungkin,” katanya, menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau lagi, KPWKM turut berbesar hati atas pengumuman untuk menubuhkan sebuah unit khas di bawah Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak.
“Kami di KPWKM sedia membantu PDRM demi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
“Di samping itu, KPWKM juga mengalu-alukan inisiatif di bawah PERKESO untuk menggalakkan wanita yang sebelum ini terpaksa berhenti kerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak.
“Kami percaya, pindaan akta yang akan dibawa oleh Kementerian Sumber Manusia ini akan menjadi pemangkin dan menyuntik semangat untuk golongan wanita agar menjadi seorang ibu tidak menghalang mereka untuk terus berjaya dalam kerjaya dan profesion mereka,” katanya.