KUALA LUMPUR – Kerajaan mewarisi bebanan hutang yang terlalu tinggi yakni akan menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2023.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika dihitung hutang dan liabiliti negara mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus KDNK.
Menteri Kewangan menyatakan, bayaran khidmat hutang tahun ini juga mencecah RM46 bilion ringgit atau 16 peratus daripada hasil iaitu telah melebihi had maksimum 15 peratus yang selama ini diamalkan.
“Bayaran RM46 bilion ini hanyalah untuk kadar faedah atau bunga pinjaman dan bukannya hutang pokok. Dewan ini harus diingatkan, 25 tahun Kerajaan berbelanjawan defisit, hutang negara terus bertambah.
“Kita pernah berhutang untuk membangun tanah FELDA; itu tidaklah digusarkan tetapi berhutang membiayai projek mega tanpa faedah mengundang persoalan apakah kita mengkhianati amanah sekiranya generasi anak muda dibebani dengan hutang,” kata Anwar yang juga Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, tambah Anwar lagi Malaysia mengalami kemerosotan dalam pentadbiran.
Jelas beliau, amalan rasuah dan penyelewengan bagaikan sudah sistemik sehingga membobrok tadbir urus Kerajaan, malah mencalar imej negara.
“Kesannya, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 telah jatuh merudum ke tangga 61 jika dibandingkan tangga 29 yang kita capai 1998.
“Transparency International Malaysia menyebut asbab kemerosotan ini kerana kegagalan membendung rasuah politik.
“Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 mendedahkan wujud ketirisan hampir 3 bilion ringgit meliputi kehilangan
wang awam, pembaziran dan juga pembayaran tidak teratur,” katanya.
Kata beliau, umpamanya, isu terkurang kutip duti import kenderaan, kerajaan telah hilang RM72 juta hanya disebabkan proses kutipan duti import yang lemah.
“Selain itu, wujud juga ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel
diselewengkan pada tahun lalu.
“Inilah bukti pelbagai ketelanjuran yang memberi dampak buruk kepada negara. Ini mesti dihentikan jika kita mahu negara ini beranjak ke hadapan dengan gagah dan gemilang.
“Kita yang menentukan apakah masa depan negara akan rencat, melonjak atau terpenjara, dan ia tergantung kepada ruang kebijakan yang ingin diterjemahkan,” katanya.